1.1 bilion penduduk dunia ‘ghaib’

1.1 bilion penduduk dunia ‘ghaib’

1.1 bilion penduduk dunia ‘ghaib’
1.1 bilion penduduk dunia ‘ghaib’

WASHINGTON 22 Okt. – Lebih 1.1 bilion daripada penduduk dunia secara rasminya dilaporkan sebagai ‘ghaib’ dengan mereka meneruskan kehidupan harian masing-masing tanpa sebarang identiti.

Keadaan itu mengakibatkan sebahagian besar daripada mereka tidak dapat menikmati manfaat daripada kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Menurut program terkini Bank Dunia dikenali sebagai Identiti Untuk Pembangunan (ID4D), orang tidak wujud itu keba­nyakannya tinggal di benua Afrika dan Asia dengan satu pertiga daripadanya adalah kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan mengakibatkan kelahiran mereka tidak didaftarkan.

Masalah orang ghaib amat te­ruk berlaku di kawasan yang mana penduduknya berdepan masalah kemiskinan, diskriminasi, wabak dan konflik bersenjata.

Pengurus Program ID4D, Vyjayanti Desai berkata, masalah itu berpunca daripada beberapa faktor namun jurang yang wujud antara rakyat dan perkhidmatan kerajaan di kawasan membangun dikenal pasti sebagai faktor utama.

Bekas Menteri Pembangunan Peru, Carolina Trivelli berkata, sebagai contoh, penduduk yang tinggal berhampiran Hutan Amazon di Peru mengambil masa selama lima hari untuk sampai ke kawasan pentadbiran kerajaan dengan menaiki bot.

Selain itu, kebanyakan keluarga juga tidak didedahkan dengan kepentingan pendaftaran kelahiran dan kesan sekiranya anak mereka tidak didaftarkan.

Ini memungkinkan kanak-kanak itu di­nafikan hak asasi manusia atau terjebak dalam kancah buruh kanak-kanak. – AFP

Share on Facebook

Leave a Comment