


Pasaran Kembar Juara Cabaran Angkasa Piala Perdana Menteri
PETALING JAYA, 9 Okt (Bernama) — Pasangan kembar Muhammad Hazim Nazlan dan Muhammad Haziq Nazlan, pada Jumaat dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Cabaran Angkasa Piala Perdana Menteri peringkat kebangsaan ke-13.
Hazim dan Haziq, 10, dari Sekolah Kebangsaan Oran, Perlis muncul pemenang selepas berjaya melepasi beberapa cabaran sejak pertandingan itu bermula 4 Oktober lepas, dan mereka bakal membawa nama Malaysia ke Turki dalam program Space Camp penghujung tahun ini.
“Persiapan yang kami lakukan sebelum menyertai pertandingan ini tidak sia-sia di mana kami memulakan eksperimen serta mengkaji pergerakan planet-planet di angkasa lepas melalui pembelajaran dan internet,” kata Haziq, ketika ditemui media selepas majlis penutup pertandingan cabaran Angkasa Piala Perdana Menteri peringkat kebangsaan di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara, di sini pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Subari.
Sementara itu kembarnya Hazim berkata minat mendalam terhadap pendidikan astronomi mendorongnya untuk menyertai pertandingan itu sekaligus muncul juara setelah mengalahkan pasukan lain dari empat sekolah dalam pertandingan akhir itu.
“Saya meminati bidang astronomi kerana perasaan ingin tahu mengenai kejadian lain di luar dari planet bumi dan saya menjadikan angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor sebagai idola saya dalam bidang ini,” katanya.
Ibu mereka Arina Matt berkata, kedua beradik itu menunjukkan minat serta potensi dalam subjek sains dan mereka dipilih untuk mewakili sekolah ke pertandingan itu.
“Kami akan menjadikan kemenangan ini sebagai platform untuk memudahkan kami memberi pendedahan kepada murid-murid lain dalam sesi pembelajaran di sekolah nanti,” kata Arina, yang juga merupakan guru kepada pasangan kembar itu.
Beliau berkata persiapan lebih rapi akan dilakukan sebelum menghantar Hazim dan Haziq mengikuti program Space Camp di Turki tidak lama lagi.
Sejak 4 Okt lepas, kira-kira 50 sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang menampilkan pelbagai cabaran termasuk kuiz sistem suria, pembinaan roket air, satelit penujahan, pembakaran bahan pejal roket, pengkolonian planet, penentuan buruj, penerokaan planet dan pendaratan kapsul dan kenderaan Marikh.
Menerusi program itu, peserta diberi peluang berkomunikasi dengan Micheal Barratt, angkasawan Amerika Syarikat yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi Sekolah Kebangsaan Convent Selangor (2) Klang manakala Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Kota Setar, Kedah di tempat ketiga diikuti tempat keempat dan kelima masing-masing oleh Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kuen Cheng (2) Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan Taman Muhibbah, Senai, Johor.
Selain mengikuti program Space Camp di Turki, pemenang utama membawa pulang piala pusingan, teleskop, plak dan hamper serta sijil penyertaan.
– BERNAMA
P/s :- Mereka berdua nie si kembar kat sekolah omaQ mengajaq.. Sek Keb Oran Perlis… anak kepada Teacher Arina .. tahniah omaQ ucapkan !!!
Share on Facebook




























