
Kuala Lumpur, 7 Feb 2010:- Forum Perdana: Kalimah Allah yang disertai oleh Dr Mohd Asri bersama-sama Ustaz Nasarudin Hasan dan Dato’ Dr Chua Jui Meng semalam membincangkan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam di Malaysia yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Forum yang bermula pada jam 9.30 malam itu diadakan dalam rangka untuk mencari satu jalan penyelesaian dalam membentuk keharmonian di kalangan agama di Malaysia selain untuk memperoleh pandangan dari golongan bukan Islam.
Dr Mohd Asri memberikan ulasan bahawa Islam secara dasarnya tidak menegah orang selain Islam untuk menyebut nama Allah. Katanya lagi, hal ini sudah dibincangkan secara menyeluruh di dalam Islam dan tiada wujud larangan dalam Islam untuk menghalang orang bukan Islam menyebut nama Allah, bahkan wujud berbagai dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut bahawa orang bukan Islam sejak dari dahulu lagi telah menggunakan atau menyebut kalimah Allah di dalam percakapan mereka.
Tindakan untuk mengharamkan penggunaan kalimah Allah ini bagaikan telah mewujudkan satu situasi yang bertentangan dengan apa yang dirincikan oleh al-Quran, dan untuk membenarkannya seratus peratus pula barangkali akan menimbulkan satu kekeliruan serta membangkitkan satu keadaan yang boleh mencabar sensitiviti umat Islam. Sedangkan apa yang sepatutnya berlaku adalah perlu diwujudkan satu garis panduan dalam mewujudkan sesuatu yang selari dengan apa yang disuruh oleh agama.
Tegasnya lagi, perbezaan antara orang Islam dan kafir bukanlah isu nama tuhan, akan tetapi pada tauhid dan syirik. Dan tiada sepatutnya timbul kekeliruan dalam beraqidah walaupun nama Allah digunakan oleh orang Kristian kerana ilmu aqidah yang ada pada umat Islam sepatutnya mampu membezakan Allah yang digunakan oleh umat Islam dan perbezaan oleh orang Kristian.

Ustaz Nasarudin Hasan dalam mengulas isu ini mengatakan bahawa masyarakat perlu membuka pintu diskusi dalam membincangkan serta menyelesaikan isu ini secara terhormat. Katanya, masalah seperti ini memerlukan satu ruang dialog di antara agama terutamanya bagi mengelakkan berlakunya ketegangan di dalam negara ini.

Sementara itu, Dato’ Dr Chua pula menegaskan bahawa perkara ini – penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam – sudah lama berlaku, dan sepatutnya tiada polemik yang timbul akibat perkara ini. Apa yang diperlukan adalah penyelesaian secara harmoni dan bijaksana.

Secara tuntas, forum semalam bersetuju bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh non-Muslim di Malaysia, namun perlulah diwujudkan satu garis panduan yang sebenar dalam melenturkan semula isu ini.


