
UniMAP, Seberang Ramai – Jawatankuasa Perisian Sumber Terbuka UniMAP, Jabatan Pelajaran Perlis dan OSSLab SK Sena telah menganjurkan siri Latihan Pengenalan kepada Ubuntu GNU/Linux untuk Guru-Guru Perlis yang bermula pada 24 Mei 2010 dan dijangka berakhir pada 2 Jun 2010. Latihan tersebut yang bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dalam kemahiran penggunaan Ubuntu serta pentadbiran sistem melibatkan seramai 150 orang peserta dari kalangan pegawai Jabatan Pelajaran Perlis, juruteknik komputer Jabatan Pelajaran Perlis dan guru-guru Penyelaras ICT sekolah-sekolah seluruh negeri Perlis.
Siri latihan tersebut berjalan dalam tiga fasa dan telah dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Maklumat dan ICT Jabatan Pelajaran Perlis, En. Mohd Kadri bin Ibrahim. Pengisian kursus pula disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan merangkap pengerusi Jawatankuasa Perisian Sumber Terbuka UniMAP, Prof. Madya Dr. R. Badlishah bin Ahmad dengan bantuan ahli-ahli jawatankuasa, Dr. Ong Bi Lynn dan Cik Hasneeza Liza binti Zakaria, kedua-duanya merupakan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan UniMAP.
Antara pengisian latihan ialah konsep perlesenan perisian sumber terbuka, kestabilan dan keselamatan sistem operasi berasaskan GNU/Linux, pemasangan sistem operasi Ubuntu, penggunaan Ubuntu melalui antaramuka grafik (GUI), kemahiran asas arahan teks (CLI), pemasangan pelayan (server) dan asas pentadbiran sistem menggunakan Ubuntu. Setiap peserta dibekalkan dengan DVD dan modul untuk rujukan dan tindakan lanjut selepas menjalani latihan.

Sekolah Kebangsaan Sena yang bertindak sebagai urusetia latihan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan siri tersebut, juga kepada para peserta yang menghadiri kursus berkenaan. Diharapkan agar kelebihan-kelebihan yang ada pada perisian sumber terbuka yang disampaikan melalui latihan tersebut dapat dimanfaatkan oleh setiap peserta di tempat masing-masing kelak.
P/s :- Sekarang omaQ telah menggunakan UBUNTU untuk menggantikan Window sebagai medium untuk acess internet dan buat kerja kerja yang tidak melibatkan window.. sbb dengan menggunakan ubuntu GNU linux nie mmg menarik .. banyak kelebihan yang kita perolehi darinya… FREEDOM!!!!!


