Diari penghidap multiple sclerosis

Add comments

Diari penghidap multiple sclerosis


MASIH segar di dalam memori wanita itu mengenai peristiwa yang menimpanya empat tahun lalu ketika dia berkelana di bumi asing, Bahrain.

Nazatul Aqmar Nazri, 26, yang bertugas sebagai chef ketika itu ditahan oleh pihak polis dan hampir masuk ke lokap gara-gara dikatakan mabuk kerana dia berjalan terhuyung-hayang.

Walaupun puas meyakinkan anggota polis terbabit bahawa dirinya tidak mabuk, namun anggota polis berkenaan menganggap penjelasannya itu sekadar alasan untuk melepaskan diri.

Tidak berang dengan tindakan pihak polis yang hanya menjalankan tugas, Nazatul Aqmar terpaksa menunggu penuh sabar selama enam jam untuk membuat ujian mengesan alkohol melalui nafas. Namun, dia dilepaskan kerana hasil ujian tersebut negatif.

“Seminggu selepas kejadian tersebut keadaan saya semakin teruk kerana kaki kiri tidak bergerak dan dimasukkan ke hospital. Pada masa itulah baru saya tahu bahawa saya menghidap sejenis penyakit saraf iaitu sklerosis multipel (MS).

“Segala jawapan terhadap apa yang saya alami sejak di bangku sekolah akhirnya terjawab walaupun sebelum ini doktor pernah mengambil cecair tulang belakang saya pada usia 14 tahun, namun misteri penyakit yang saya hidap tidak terungkai,” katanya yang lebih mesra dipanggil Nazatul.

Menurut Nazatul, dia mengalami beberapa simptom seperti gangguan memori, berjalan tidak betul dan tidak seimbang. Selain itu, dia juga mengalami kebas sebelah muka, kebas kaki kiri sehingga terpaksa menyeret kaki apabila berjalan selain penglihatannya sebelah kanannya kabur.

Katanya, ketika di sekolah rendah, dia sangat suka menggigit jari dan mengopek kuku kaki sehingga kukunya tercabut, namun Nazatul tidak merasa sebarang kesakitan walaupun jarinya berdarah.

Berfikiran positif

“Pada mulanya saya lebih banyak mendiamkan diri selepas disahkan menghidap MS. Namun, saya berfikiran positif kerana banyak lagi penyakit lain yang lebih teruk berbanding penyakit saya ini.


“Serangan MS berlaku di antara tiga hingga empat kali setahun dan ia mengambil masa yang agak lama untuk pulih daripada serangan tersebut,” jelas anak keempat daripada lima beradik itu ketika ditemui pada Pelancaran Kempen A Wake Of Hope anjuran Persatuan MS Malaysia dan syarikat farmaseutikal Merck Serono baru-baru ini.

MS merupakan penyakit sistem saraf yang menjejaskan otak dan saraf tunjang. Penyakit ini mengakibatkan sistem imun tubuh memusnahkan beberapa tisu lemak yang dipanggil myelin. Myelin berfungsi membantu serat-serat saraf untuk menghantar mesej elektrik dari otak ke bahagian tubuh yang lain.

Kemusnahan myelin menyebabkan individu terbabit hilang upaya seperti kelesuan, penglihatan kabur, rasa lemah pada kaki dan kebas. Selain itu, penghidap juga mengalami rasa seperti dicucuk-cucuk pada muka, tangan, kaki atau badan serta kebas di sekitar dada dan abdomen.

MS buat julung-julung kalinya dijelaskan oleh Jean-Martin Charcot pada tahun 1868. Sehingga kini, punca sebenarnya penyakit ini tidak diketahui. Ia boleh diklasifikasikan sejenis penyakit autoimun kerana sistem imun menyerang tubuh sendiri. Lazimnya, keseriusan penyakit tersebut pada tahap sederhana, bagaimanapun sesetengah individu hilang keupayaan menulis, bertutur atau berjalan. Pakar Perunding Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. V. Shanti memberitahu, MS memberi kesan yang berbeza terhadap individu.

“Wanita berisiko tinggi menghidap penyakit MS pada kadar dua kali ganda berbanding lelaki dan biasanya dikesan pada usia di antara 20 hingga 40 tahun. Sungguhpun begitu, MS boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur.

“Serangannya datang dan pergi. Simptomnya lebih kurang sama dengan penyakit lain seperti hipertensi dan strok menyebabkan ramai yang tidak ambil pusing mengenai penyakit ini,” katanya yang menyarankan orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mempunyai tanda-tanda MS.

Dahulu MS hanya dihidapi oleh orang Kaukasia yang kebanyakannya tinggal di Barat. Ia melibatkan satu atau dua orang dalam 100,000 orang.

Antara tanda-tanda MS ialah masalah penglihatan, kesukaran pertuturan, rasa lemah dan letih pada anggota tubuh.

Selain itu, mereka juga akan mengalami koordinasi terjejas, sakit dan kebas, kekejangan otot pada tangan atau kaki serta masalah ingatan, penumpuan, kawalan pundi kencing atau usus.

Tanda-tanda dan gejala-gejala yang berlaku bergantung kepada lokasi serat saraf yang rosak.

“Jika tanda-tanda tersebut berulang, seseorang itu perlu segera berjumpa pakar perunding neurologi untuk memastikan sama ada tanda-tanda tersebut disebabkan MS atau sebaliknya.

“Kebiasaannya, untuk mendiagnosis sama ada seseorang itu menghidap MS, doktor akan melakukan ujian darah, pengimejan resonans magnetik (MRI) dan mengambil cecair tulang belakang,” jelasnya.

Bagi seorang ibu muda, Farah Diana Mohd. Amin, 25, dia diserang MS buat pertama kalinya ketika berumur 16 tahun.

“Badan sebelah kiri saya kebas. Ingatkan kebas-kebas biasa sahaja. Apabila rasa kebas itu berulang saya menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Sebelum didiagnosis menghidap MS, kaki saya bengkak jika terlalu lama berjalan atau jalan jauh dan mengambil masa berhari-hari untuk menghilangkan rasa penat,” katanya yang turut mengalami simptom penglihatan kabur.

Farah Diana memberitahu, pada sambutan hari raya tahun lalu, bahagian kanan mukanya jatuh sehingga terpaksa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Lebih membimbangkan Farah Diana apabila doktor memberitahu, kemungkinan kecacatan pada wajahnya akan kekal. Namun, isteri kepada Mohd. Fariq Salin, 28, yang juga ibu kepada anak lelaki berusia setahun tujuh bulan itu pasrah dengan ujian yang dilaluinya.

“Macam-macam saya ikhtiar untuk memulihkan keadaan bentuk muka yang jatuh. Suami pula banyak memberikan sokongan dan menyuruh saya mengunyah gula-gula getah bagi memulihkan keadaan. Syukur, muka saya pulih seperti sediakala selepas beberapa bulan.

“Sepanjang kehamilan tiada sebarang serangan berlaku, cuma selepas melahirkan anak, serangan semakin kerap dan teruk. Terbaru, saya mengalami serangan yang sama pada bulan Februari lalu,” katanya yang mengalami empat kali serangan MS setahun.

Perkara yang paling ditakutinya ialah apabila anaknya menangis ketika suami tiada di sisi.

“Bukan tidak mahu dukung dan memujuknya tetapi saya khuatir dia cedera kerana saya tidak kuat untuk mendukungnya,” ujarnya yang kini membuka perniagaan menjual aksesori dan barangan bayi serta kanak-kanak secara talian.

Sumber : Kosmo.com.my

Posted By Abu Fawwaz With Blackberry for WordPress

Related Posts with ThumbnailsShare on Facebook
Posted on May 21st 2011 in My Artikel

2 Responses to “Diari penghidap multiple sclerosis”

  1. nor Says:

    sya berusia 17 thn,ingin thu sya slalu lenguh bila minum minuman bekefen, adakah sya penghidap penyakit MS?

  2. omaQ Says:

    saya tak pasti.. kene tanya orang yang lebih pakar tentang perubatan ini tq

Leave a Reply