Mengintai Malam Seribu Bulan
Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Malam yang terbaik bagi umat Nabi Muhammad SAW adalah malam Lailatul Qadar. Pada malam berkenaan turunnya rahmat Allah dan keselamatan dicurahkan ke seluruh bumi. Saat itu insan yang menadah tangan dihujani pahala dan keampunan. Satu malam beribadat balasannya sama dengan anda beribadat selama lapan puluh tiga tahun. Walaupun umur kita jarang boleh sampai ke aras itu, anugerah ini adalah sebagai tanda kecintaan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Mengapa kemungkinan besar ia datang pada malam ganjil sepuluh terakhir bulan Ramadan? Sedangkan saat itu manusia sedang teramat sibuk menyambut Syawal yang akan menjelang. Betapa beratnya ujian untuk tetap menghiasi malam dengan sembahyang, membaca Al-Quran, berdoa dan beristighfar. Bagaimanakah kaedah untuk menguatkan hati dan mencergaskan tubuh badan pada malam Lailatul Qadar itu?
Membuka ikatan syaitan
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Syaitan mengikat pada leher kamu ketika kamu tidur dengan tiga ikatan. Jika seseorang bangun dan berzikir kepada Allah, terlepaslah satu ikatan, jika dia berwuduk, terlepaslah satu ikatan lagi dan apabila dia bersembahyang, terlepaslah semua ikatannya (yang terakhir)”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Dengan begitu, dia bangun dalam keadaan bersemangat, gembira dan merasai ketenangan. Tetapi jika dia tidak melakukannya, tidak bangun, berzikir, berwuduk dan bersembahyang, maka pada waktu pagi dia akan bangun dalam keadaan malas.
Mengajak ahli keluarga bangun sembahyang bersama
Rasulullah SAW pernah mengetuk pintu rumah Fatimah dan Ali pada suatu malam, supaya keduanya melakukan sembahyang sunat. Dalam hadis riwayat al-Imam Bukhari, Ummul Mukminin, Ummu Salamah RA berkata, Rasulullah SAW pernah bangun pada waktu malam, baginda berkata: ”Maha Suci Allah, apakah fitnah yang turun pada malam ini? Apakah ada khazanah yang diturunkan bagi sesiapa yang suka membangunkan isteri-isteri di dalam bilik-biliknya? Wahai mereka yang berpakaian di dunia tetapi telanjang di akhirat.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari).
Sembahyang tahajud menjadi amalan yang amat disukai oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ketika seorang hamba bersendirian sujud dan bermunajat kepada Allah, melalui dua rakaat yang sedikit tetapi ia pasti meresapkan keinsafan dalam hati dan melelehkan air mata penyesalan adalah permulaan dibukakan segala pintu kebaikan, iaitu sebagai salah seorang dari tujuh golongan yang pasti diberi perlindungan Allah SWT di akhirat kelak, pada hari yang tidak akan ada perlindungan keculi perlindungan Allah; ’Lelaki yang menitiskan kedua air matanya kerana takut kepada Allah’. Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Pada suatu hari, Abdullah bin Umar bermimpi tentang keadaan di dalam neraka, beliau diperlihatkan keadaan orang-orang yang menjadi penghuninya. Hingga beliau berasa amat takut dan meminta perlindungan Allah SWT. Ketika itu Abdullah bin Umar masih kecil. Kebiasaannya apabila para sahabat bermimpi mereka akan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Abdullah menyampaikan kisah mimpinya itu kepada saudaranya Ummul Mukminin Saidatina Hafsah isteri Baginda SAW, lalu Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Sebaik-baik lelaki dialah Abdullah sekiranya dia mahu bangun sembahyang pada sebahagian malam.” Hadis Imam al-Bukhari.
Berdoa dan istighfar
Ummul Mukminin Saidatina Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW: ”Wahai Rasululah, sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar apakah doa yang harus aku baca? Jawab baginda SAW: Bacalah doa; Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan kepada hamba-hamba-Mu. Engkaulah Tuhan yang suka Mengampunkan segala dosa maka ampunilah diriku.”
Siapalah kita tanpa doa dan permohonan. Begitu lemahnya manusia di sisi Allah SWT. Semua usaha yang kita lakukan bergantung harap kepada belas ehsan Allah. Orang yang tidak mahu berdoa dan bertaubat telah mencabar kekuasaan Tuhan, kerana dia merasa dirinya selamat dan boleh bergantung penuh kepada hasil usahanya sendiri. Sebaik-baik taubat adalah menyesal dan mengubahnya dengan amal saleh. Kita dilahirkan ke dunia sebagai hamba yang amat memerlukan Tuhannya. Sikap sentiasa menyesali diri dan berwaspada melakukan dosa mesti sentiasa diamalkan kerana bukanlah bernama manusia jika ia tidak berdosa.
Malam Lailatul Qadar boleh menjadi malam penyucian segala dosa. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Barangsiapa yang sembahyang pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan pengharapan akan rahmat Allah, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al- Bukhari dan Muslim)
Hanya mereka yang menghiasi malamnya dengan ibadat dan siangnya dengan sabar serta reda sahaja yang berhak ke atas anugerah Ramadan ini. Sedangkan yang lalai, yang cukup bagi mereka hanyalah lapar dan dahaga sahaja.
Sumber :- Drjuanda.com














