281117 9 Wasiat Imam Syafie | Masjid Repoh Perlis

Bab : 9 Wasiat Imam Syafi’i
Masjid Tun Abdul Razak Repoh Perlis
Kitab Solat : Syeikh al-Albani (Sifat Solat Nabi)
Kuliah Maghrib | Blog : www.omaQ.org
Oleh :Ust. Mohd Umar Bin Ahmad (Abu Fawwaz)
28 November 2017 (Selasa) / 9 Rabiul Awal 1439H
9 WASIAT IMAM SYAFI’I

1. Berkata Imam Al-Syafi’i,
ما من أحد إلا وتذهب عليه سنة لرسول الله صلى الله عليه وسلم وتعزب عنه فمهما قلت من قول أو أصلت من أصل فيه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لخلاف ما قلت فالقول ما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو قولي
“Setiap orang boleh mengingati sesuatu riwayat dan boleh pula melupakannya. Adapun pendapat yang kami cetuskan atau kami dedahkan sumbernya tetapi berlawanan dengan apa yang berasal daripada Rasulullah maka yang benar adalah apa yang berasal daripada Rasulullah, dan itulah pendapatku.”

2. Berkata Imam Syafi’i lagi;
أجمع المسلمون على أن من استبان له سنة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يحل له أن يدعها لقول أحد
“Telah ijma’ (bersepakat) seluruh umat Islam bagi sesiapa yang telah jelas baginya sunnah Rasulullah, tidak halal baginya untuk meninggalkan sunnah tersebut kerana perkataan seseorang.”

3. Kata Imam Syafi’i lagi,
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت
وفي رواية : فاتبعوها ولا تلتفتوا إلى قول أحد
“Apabila kamu mendapati di dalam kitabku sesuatu yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah, maka berkatalah kamu dengan Sunnah Rasulullah dan tinggalkanlah apa yang aku kata.” Dan dalam riwayat lain: “Maka ikutlah ia (Sunnah Nabi) dan janganlah kamu berpaling-paling kepada perkataan seseorang yang lain.”

4. Berkata lagi Imam Syafi’i,
إذا صح الحديث فهو مذهبي
“Apabila sahih sesuatu hadis maka itulah mazhabku.”

5. Kata Imam Al-Syafi’i lagi,
أنتم أعلم بالحديث والرجال مني فإذا كان الحديث الصحيح فأعلموني به أي شيء يكون: كوفيا أو بصريا أو شاميا حتى أذهب إليه إذا كان صحيحا
“Kamu (Wahai Imam Ahmad) lebih mengetahui tentang hadis dan ilmu rijal (ilmu tentang perawi-perawi hadis) daripadaku. Maka sekiranya ada hadis sahih maka maklumkanlah kepadaku di mana hadis itu: sama ada di Kufah, atau di Basrah, atau Syam sehingga aku pergi kepadanya sekiranya ianya sahih.”

6. Berkata lagi Imam Al-Syafi’i,
كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي
“Setiap masalah yang telah sahih khabarnya (riwayatnya) daripada Rasulullah di sisi pakar-pakar hadis yang mana ia bercanggah dengan perkataanku maka aku tarik balik perkataanku sama ada ketika aku hidup dan juga selepas aku mati.”

7. Berkata Imam Syafi’i lagi;
إذا رأيتموني أقول قولا وقد صح عن النبي صلى الله عليه وسلم خلافه فاعلموا أن عقلي قد ذهب
“Apabila kamu telah melihat aku berkata satu perkataan dan telah sahih daripada Nabi perkataan yang berbeza (dari perkataanku), maka ketahuilah bahawasanya akalku telah pergi (gila).”

8. Imam Syafi’i berkata lagi;
كل ما قلت فكان عن النبي صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما يصح فحديث النبي أولى فلا تقلدوني“Setiap apa yang aku katakan, sekiranya daripada Nabi bercanggah dengan perkataanku daripada perkataan Nabi yang sahih, maka hadis Nabi lebih utama dan jangan kamu bertaqlid kepadaku (mengikutiku).”

9. Berkata lagi Imam Syafi’i;
كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي وإن لم تسمعوه مني
“Setiap hadis dari Nabi adalah perkataanku walaupun engkau tidak mendengarkannya daripadaku.”
Subhanallah. Sembilan ucapan Imam Al-Syafi’i menyuruh kita berpegang dengan hadis Nabi. Mudah dan senang untuk difahami. Imam Al-Syafi’i telah memberikan kepada kita metodologi dan manhaj cara beragama, beliau memerintahkan supaya jangan kita bertaqlid buta.

Bukan suruh menolak mazhab, la hawla wala quwwata illa billah. Orang yang mengatakan apabila kita mengajak supaya kembali kepada hadis Nabi bererti kita menolak mazhab, kita katakan kepadanya seperti mana kata Imam Syafi’i, “Maka bertakbirlah kepadanya empat kali (kerana kematiannya)” menggambarkan bahawa orang yang seperti ini tidak ada faedah kerana kejahilan mereka.

Adakah mereka tidak tahu bahawa kita mengajak manusia mengikuti Nabi, bukan mengikuti mana-mana manusia, dan apakah mereka tidak tahu bahawa apabila kita membicarakan hal ini, kita mengajak orang supaya menjadikan Imam Syafi’i sebagai ikon untuk mengikuti dan kembali merujuk kepada Nabi. Jika hendak mengambil ikon yang lebih tinggi berbanding Imam Syafi’i sudah tentulah kita menjadikan sahabat Nabi sebagai ikon yang paling tinggi di dalam merujuk kepada Nabi dalam hal-hal berkaitan agama.

Maka apabila kita berbicara tentang Imam Syafi’i, kita perlu ingat bahawa kita sedang berbicara tentang orang yang sangat bersungguh-sungguh untuk mengikuti Nabi. Maka apabila kita melihat perkataan Imam Syafi’i, lihat apa dalil yang beliau bawakan. Apabila kita mendapati hadis Nabi, maka dahulukan hadis Nabi

Imam Syafi’i adalah ikon di kalangan Ulama untuk kita contohi. Ini sepatutnya yang perlu ada dalam jiwa orang yang benar-benar hendak memahami agama. Sekiranya kita menutup dada dan minda kita daripada mengkaji dan memahami agama, maka sampai bila-bila kita tidak akan dapat menguasai ilmu agama dengan baik.

*Sumber :- Kitab Sifat Solat Nabi, Syaikh Al-Albani

www.omaQ.org | 0122959037 | LIVE MyKuliah @ FACEBOOK https://www.facebook.com/MrOmaQ

Share on Facebook

Leave a Comment