Abah-Abah Keselamatan Anak-anak

Anak masih bebas bergerak

HAMPIR setiap kali keluar membeli-belah, pasangan Mohd. Azmi Mamat, 33, dan Salman Azztha Sulaiman, 32, akan menjadi perhatian. Sekali-sekala, ibu bapa kepada dua orang anak kecil itu turut didatangi orang yang tidak dikenali. Mereka ini sebenarnya tampil untuk memberi kata-kata sokongan.

Semuanya kerana tindakan kedua-dua ibu bapa moden itu mengikat anak-anak mereka dengan menggunakan abah-abah keselamatan (harness) setiap kali berada di luar rumah. Idea penggunaan kaedah itu ke atas kedua-dua orang anak mereka, Muhammad Adam, 4 dan Muhammad Daniel, 3, sebenarnya bersebab.

Di negara-negara Barat seperti Britain dan Switzerland yang pernah dikunjungi, senario ibu bapa ‘mengikat’ anak ketika keluar bersiar-siar merupakan satu perkara biasa. Tindakan itu juga tidak dilabelkan sebagai satu kesalahan besar.

“Kebetulan pula pada waktu itu, Adam sudah pun berusia setahun dan pandai berjalan. Jadi, apabila sekembali ke Malaysia, kami cuba mencari produk itu untuk anak-anak,” cerita Azmi yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan tempatan kepada Kosmo! baru-baru ini.

Keputusan pasangan itu bagaimanapun gagal apabila mereka mendapati di Malaysia belum ada produk abah-abah keselamatan yang dipakaikan pada bahagian dada si kecil. Tanpa berputus asa, Azmi mencuba nasib dalam enjin pencarian, Google. Dari situlah, dia mengenali satu jenama tempatan, Bumble Bee yang mengeluarkan abah-abah keselamatan untuk kanak-kanak.

Enam bulan selepas Adam dan Daniel memakai abah-abah, pasangan itu mengakui kelebihan dan keberkesanan produk itu bukan hanya untuk kanak-kanak tetapi juga bagi orang dewasa.

“Panjang tali untuk kawal jarak anak adalah sekitar 1.5 meter. Jadi, anak masih bebas berjalan, tetapi dalam lingkungan terkawal,” tambah Salman yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Dilempar persepsi negatif

MOHD. AZMI dan isterinya, Salman kadangkala diingatkan sendiri oleh anak-anak mereka untuk memakaikan abah-abah sewaktu keluar membeli-belah.

Pada awal penggunaan produk itu, Azmi dan Salman terpaksa bersabar dengan pelbagai pandangan negatif orang lain terhadap tindakan mereka. Kritikan biasa seperti, ‘Menarik anak seakan-akan binatang’, cukup menghiris perasaan.

Tidak mempedulikan pandangan sesetengah pihak yang menganggap tindakan mengikat anak sebagai kejam, mereka tetap dengan pendirian peribadi.

Pasangan itu percaya bahawa penggunaan abah-abah adalah kaedah terbaik demi keselamatan si kecil. Malah, selain mampu mengurangkan risiko kehilangan anak, ibu bapa tidak perlu bimbang anak kesayangan akan merayau jauh ke kawasan yang berbahaya atau diculik.

Sama ada berada di pusat beli-belah mahupun ketika melintas di jalan raya, ibu bapa tidak perlu lagi bermandikan peluh mengejar anak mereka.

“Sekarang bila keluar rumah, anak sendiri yang minta untuk dipakaikan abah-abah. Mak mentua sendiri pun dah belikan satu untuk cucunya yang seorang lagi di Johor Bahru,” tambah Azmi sambil memberitahu kedua-dua orang anaknya dibenarkan memilih corak abah-abah keselamatan mereka.

Hakikatnya, penggunaan abah-abah dalam kalangan kanak-kanak bukan satu fenomena moden. Di negara-negara Barat, abah-abah dipercayai telah wujud seawal abad ke-17 sehingga ke-19. Imej kanak-kanak menggunakan sejenis tali pengikat ketika baru belajar berjalan banyak direkodkan dalam lukisan pada era itu.

Tetapi, populariti penggunaan abah-abah melonjak sekitar abad ke-20 seiring dengan kepesatan pembangunan bandar-bandar besar. Perasaan bimbang terhadap bahaya anak berjalan di jalan raya mendesak majoriti ibu bapa mengambil langkah menggunakan abah-abah. Keadaan ini memberi peluang kepada golongan pengeluar untuk mempelbagaikan rekaan model abah-abah itu.

Beri anak masa

Ibu kepada dua orang anak remaja, Alicia Voon, 40, pula mula memperkenalkan penggunaan abah-abah keselamatan kepada anaknya seawal usia dua tahun. Seperti dijangka, produk baru berupa satu tali pengikat itu tidak diterima terus oleh anaknya.

PEMAKAIAN abah-abah pada tubuh anak turut dilengkapi dengan aspek keselamatan yang kukuh.

Terlalu muda untuk mengetahui signifikan abah-abah, anak lelaki Alicia itu secara spontan terus menarik tali yang diikat pada pergelangan tangannya. Cubaan untuk melepaskan diri itu nyata bersebab. Ini kerana tiada seorang pun kanak-kanak normal yang aktif suka jika pergerakannya dihadkan.

“Anak perempuan saya lagilah lasak macam lelaki. Dia langsung tidak mahu dipakaikan dengan abah-abah,” ceritanya tentang pengalaman lebih sedekad lalu.

Pada tahun 1990-an, penggunaan abah-abah keselamatan untuk kanak-kanak kecil seperti tidak pernah diketahui di Malaysia. Jadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FD International Sdn. Bhd., itu hanya berjaya mendapatkan produk itu dari negara jiran terdekat, Singapura untuk dieksperimentasi buat anak-anaknya.

Pelbagai usaha diambil untuk meyakinkan anak-anaknya agar menerima abah-abah keselamatan itu. Namun, segalanya hanya berjalan lancar selepas Alicia menunjukkan kegunaan abah-abah menerusi klip-klip video kepada anak-anaknya.

Revolusi abah-abah keselamatan

Abah-abah pertama yang dibelinya pada ketika itu hadir dengan rekaan paling asas dan ringkas. Tiada beg bermotifkan haiwan-haiwan comel tiga dimensi (3D), produk itu hadir dengan seutas tali bagi mengikat bahagian pergelangan tangan si kecil.

ALICIA antara peneraju dalam jualan produk abah-abah keselamatan si kecil.

“Material yang digunakan untuk menghasilkannya juga agak kasar dan keras,” tambah Alicia.

Menurutnya, masyarakat hanya sedar tentang keperluan untuk mengawal anak menerusi kaedah baru selepas berlaku kejadian kehilangan anak berprofil tinggi seperti ke Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin kira-kira tiga tahun lalu. Yin yang berusia lima tahun pada ketika itu telah terlepas daripada pandangan bapanya di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Berikutan kejadian itu, wanita dari Bumi Kenyalang itu mula memperkenalkan abah-abah keselamatan dua-dalam-satu di bawah jenama tempatan, Bumble Bee sekitar dua tahun lalu. Abah-abah keselamatan keluaran jenama itu adalah lebih moden dan hadir dengan rekaan binatang yang lebih comel.

Tambah Alicia, watak-watak lembu, monyet dan singa merupakan antara pilihan produk yang dikilangkan di China itu. Diperbuat daripada material tahan lama dan tidak mudah memerangkap habuk, penerimaan masyarakat terhadap penggunaan abah dikatakan agak memberangsangkan pada hari ini. Buktinya, abah-abah Bumble Bee akan diulang keluar pada purata 9,000 buah setiap tahun berbanding pada awal ia diperkenalkan.

“Imej rama-rama merah jambu ini sangat popular. Lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak perempuan,” katanya sambil memberitahu rekaan watak abah-abah Bumble Bee akan ditentukan oleh sekumpulan pereka syarikatnya.

Dia berkali-kali menekankan bahawa berjalan dengan abah-abah sebenarnya tidak menyusahkan anak. Sebaliknya, ibu bapa hanya perlu menggenggam erat penghujung tali ketika keluar bersiar-siar bersama si kecil. Ciri-ciri abah-abah keselamatan yang boleh dilaraskan itu menjadikannya sesuai digunakan oleh kanak-kanak berusia 18 bulan ke atas.

Kesan psikologi

ABAH-ABAH keselamatan dua dalam satu berjenama Bumble Bee ini hadir dalam enam rekaan berbeza.

Pengasas Tommi Guard Child Safety Harness, Maureen Dempsey Baker dalam laman web yang dikendalikan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) adalah bukti betapa senangnya mengawal anak dengan abah-abah. Malah, penggunaan abah-abah dengan reka bentuk tertentu dipercayai mampu mencegah kecederaan pada tubuh anak.

Jelasnya, pakar pediatrik pernah menyatakan bahawa kebanyakan kecederaan umum biasanya terjadi pada bahagian bahu dan lengan apabila ibu bapa menarik anak yang jatuh ketika memegang tangan mereka.

“Tetapi penggunaan abah-abah dapat membantu memberi petunjuk kepada anak sambil membenarkan sokongan pada bahagian paling kuat mereka iaitu dada,” tambahnya.

Seorang pakar pediatrik, Dr. Ling Shiang Yih yang dihubungi Kosmo! bagaimanapun berpendapat, kanak-kanak tidak sepatutnya ‘diikat’ untuk mengehadkan kebebasan mereka. Sebaliknya, menerusi pendidikan dan disiplin yang betul, anak hiperaktif juga boleh ‘dijinakkan’. Bilangan anak yang kecil dalam kebanyakan keluarga hari ini juga bermakna tidak timbul masalah untuk ibu bapa memberi didikan berkualiti kepada anak.

“Saya rasa penggunaan abah-abah keselamatan pada anak adalah satu tindakan melampau. Adalah normal jika seseorang kanak-kanak itu aktif,” katanya sambil memberitahu, setiap kanak-kanak berhak menikmati sedikit kebebasan yang berpatutan.

Sementara itu, Pakar Psikologi Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Samsilah Roslan berkata, buat masa ini belum terdapat kajian konklusif mengenai kesan negatif penggunaan abah-abah oleh kanak-kanak.

Baginya, hubungan akrab atau perapatan (bonding) antara ibu bapa dan anak yang terpupuk sejak zaman kanak-kanak lagi adalah perkara paling mustahak. Perapatan yang baik terbentuk ketika anak berusia sekitar setahun hingga tiga tahun. Tindakan tersebut boleh memberi kesan positif terhadap tumbesaran anak apabila dewasa nanti.

“Kalau ibu bapa boleh pegang, sentuh atau dukung anak termasuk ketika berada di luar rumah, itu lebih baik.

“Jadi, abah-abah keselamatan boleh menjadi pilihan terakhir ataupun hanya sebagai sokongan,” katanya kepada Kosmo! sambil menekankan kepentingan mendidik anak menerusi perbualan.

Sumber : kosmo.com.my

Posted by Abu Fawwaz with WordPress for BlackBerry

Share on Facebook

COMMENTS

  • alia

    salam…aku ader gunakan abah2 yang bentuk kumbang kecil tapi bukan ler jenama yang tersebut dalam artikel.banyak gunanya bila aku perlu bergerak berdua sahaja tanpa kehadiran suami.almaklumlah budak tengah seronok nak belajar berjalan dan meneroka.jadi aku tak perlu memegang tangannya.dia bebas denagn aku mengekor dibelakangnya…bila perlu sahaja aku akan dokong n pegang tangnnya…

  • Zaihasra

    Salam… nak tahu kat mana boleh dapatkan abah-abah ni and berapa harganya?

  • Siti Hajar

    Salam….di mana ye boleh sya dptkan abah2 ni?brape harga seunit ye?

  • mimi

    Tak kira apa pun pandangan pakar atau pun bukan pakar, hanya ibubapa yang pernah mengalami situasi anak lari ke tengah jalan, hilang di pasaraya, masjid dan tangga bergerak, yang faham kepentingan tali ni. Bukan semua kanak-kanak berperangai sama, boleh di disiplin dengan syarahan dan kata-kata sahaja. Sebagai ibu bapa memang kita bersyukur dengan anugerah cahaya mata tapi sesuatu perlu di lakukan untuk membantu diri kita sendiri (orang lain hanya pandai menasihati tapi bukan membantu) apabila mendapat anak-anak yang aktif atau hiperaktif. Sekian, terima kasih.

Leave a Comment