Artis Taubat Dalam Penghijrahan : Terima Pelbagai Gelaran

No Comments »

Artis Taubat Dalam Penghijrahan : Terima Pelbagai Gelaran

KUALA LUMPUR: Dihina, diusik dan dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘ustazah jadi-jadian’ selain dipulau rakan, saudara-mara dan adik beradik antara cabaran kehidupan empat artis ini selepas mendekatkan diri ke jalan Allah.

Pada zaman kemuncak mereka, siapa tidak kenal Catriona Noorhayati Ross Bahrain Ross (Cat), Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge) dan Zafri Nanarudin (Zaf VE).

Mereka bukan asing dalam industri hiburan tanah air. Masing-masing pernah merasai dunia glamor dan menyemarakkan dunia lakonan dan muzik melalui genre R&B dan hip-hop hingga menjadi kegilaan ramai, terutama anak gadis.

Cat kini bergelar penceramah bebas, manakala tiga lagi artis lelaki itu menubuhkan kumpulan nasyid Al Mawlid bersama Abdullah Ahmad (Lah VE) dan Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge). Sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, keempat-empat artis ini mengambil kesempatan berkongsi cabaran dan pengalaman dalam mengharungi fasa baru dalam hidup mereka.

Sumber :- Hmetro.com.my

Share on Facebook
Posted on February 5th 2012 in My Artikel

Info : Fenomena telur berdiri bukan mitos

No Comments »

Info : Fenomena telur berdiri bukan mitos


Dibukti secara saintifik graviti bumi, manipulasi medan magnetik membolehkan telur tak tumbang

KUALA LUMPUR: Fenomena telur berdiri tiada kaitan dengan kepercayaan atau mitos masyarakat tertentu kerana ia sudah dibuktikan secara saintifik bahawa graviti bumi atau manipulasi medan magnetik di makmal membolehkan telur tidak tumbang apabila didirikan.
Pakar fizik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Mohd Yusof Othman, berkata mengikut kajian, tarikan graviti antara bumi, bulan dan matahari membolehkan telur berdiri termasuk ketika fenomena gerhana.
“Kawasan mempunyai medan magnetik yang tinggi juga boleh menyebabkan telur berdiri,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Beliau diminta mengulas fenomena itu yang dicatatkan sebagai Hari Lup Choon atau Hari Telur Berdiri dalam kalendar Cina. Fenomena itu dikatakan berlaku setahun sekali dan tahun ini, ia bermula jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang semalam.

Jurugambar Berita Minggu, Nik Hariff Hassan, semalam mengambil inisiatif membeli 30 biji telur untuk menguji sejauh mana kebenaran fenomena selama sejam itu di Dataran Merdeka bersama-sama beberapa pelancong yang berada di situ.

Seorang lagi ahli sains UKM, Profesor Dr Jumaat Adam, sebelum ini berkata, fenomena itu memang mencetuskan rasa pelik masyarakat dunia tetapi menegaskan banyak lagi contoh tarikan graviti bumi yang tidak dipandang serius seperti pasang surut air laut dan peralihan siang malam.
“Ada waktu dan ketika tertentu, tarikan graviti bumi dan matahari lebih kuat daripada biasa, membolehkan kita mudah untuk meletakkan telur supaya ia berdiri. Tetapi tarikan graviti ini juga menyebabkan berlakunya fenomena pasang besar iaitu apabila paras air laut meningkat tetapi tidak ramai yang mengendahkannya. Mungkin kerana ia kerap berlaku,” katanya.

Ahli sains juga menganggap ia berlaku dalam tempoh Equinox, iaitu kedudukan matahari, bulan dan matahari berada pada sudut paksi sejajar, selain ketika gerhana matahari atau gerhana bulan.

Sumber :- Bharian.com.my

Share on Facebook
Posted on February 5th 2012 in My Artikel, My Info

Dr Juanda : Jalan Untuk Mengenal Allah

No Comments »

Jalan Untuk Mengenal Allah

Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis)

Jalan-jalan untuk mengenal Allah telah dilalui oleh para Nabi dan Rasul, orang-orang saleh yang ikhlas ikut serta menjejaki. Matlamat mereka satu menjadi hamba-Nya yang dikasihi. Zaman berganti, beberapa kurun telah berlalu siapakah yang telah sampai ke matlamat yang dituju? Setiap muslim pasti mempunyai pengalaman yang sungguh bermakna ketika belajar mengenal Allah. Bagaimana pengalaman anda ketika memandang kabah yang agung? Pasti hati anda terlalu rindu berjauhan dari-Nya. Ada yang berasa amat dekat kepada-Nya ketika sakit, menangis dan terharu kerana memerlukan pertolongan-Nya menyembuhkan penyakit yang diderita. Ada yang mencari kuasa-Nya ketika kerugian harta benda atau kehilangan jiwa. Kita mencari Allah kerana beriman kepada sifat-Nya yang Maha berkuasa lagi Maha Mengasihani. Apabila dilimpah nikmat bertambah lagi hati anda terpaut pada-Nya. Sesungguhnya orang yang beriman akan semakin mengenali Allah SWT dengan berpandukan ilmunya. Belajar mengenali Allah adalah proses panjang demi mendapatkan iman yang kukuh.

Jalan-jalan mengenal Allah

1. Kenali diri sendiri.
Untuk mengenal diri sendiri tidak perlu anda terkenal dikhalayak ramai. Kadang-kadang orang yang terkenal itu ada yang tak sedar diri kerana merasa dia saja yang sempurna, berbahagialah dengan keadaan anda sekarang, walaupun orang tak perasan tentang kewujudan anda tapi pastikan Allah SWT cukup kenal dan mesra di dalam hati anda.
Proses mengenal diri sendiri bermula dari orang yang terdekat dengan kita, isteri atau suami yang merupakan belahan jiwa anda adalah orang yang paling tepat dimintakan komen yang bernas. Kemudian sahabat-sahabat serta saudara mara yang ikhlas, walaupun tidak secara langsung kita bertanya tentang kelemahan diri sendiri kepada mereka, minima kita faham sindiran dan teguran yang berlapik gaya orang timur. Kalau adik kakak bercerita tentang kegembiraan pergi menunaikan haji maknanya mereka mahu kita bersedia ke sana. Atau sahabat kita bercerita tentang pengalaman perniagaannya yang untung berjuta, jangan kecil hati membandingkan diri kita dengannya tapi cubalah ambil hikmah di sebalik itu bahawa persepsi anda tentang kerja mesti diubah. Merujuk kepada peribadi saidina Umar al-Khattab, tanpa segan silu beliau bertanya kepada saidina Huzaifah yang memegang kunci rahsia Rasulullah SAW tentang siapa nama-nama golongan orang munafik. ”Adakah dalam diriku sifat-sifat orang munafik?”
Pernah juga beliau bertanya bagaimana seharusnya sikap orang beriman menghadapi hidup yang penuh cabaran ini. Dijawab oleh saidina Ubay bin Ka’ab: ”Berhati-hati, seolah-olah kamu melintasi jalan yang penuh duri.”
Cara untuk mengenali diri juga dengan bersungguh-sungguh mengurus diri sendiri, jangan peduli dengan aib orang lain. Imam Al-Syafi’i memberi petua hebat, jalan yang selamat iaitu:

1. Suka menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk.
2. Mengingati akhirat ketika menikmati dunia.
3. Suka mengingati kematian di saat mencintai kehidupan.
4. Menghindari menyebut kebaikan diri dan keluarga.
5. Benci menceritakan keaiban dan cela orang lain kecuali yang dihalalkan.

2. Kenal Allah dengan cara bersandar pada-Nya ketika melakukan sesuatu perbuatan.
Seperti syair yang menyatakan: ”Kuatkan cinta dengan sandarkannya pada kenangan manis.” Jika kita seorang hamba yang mencari jalan menuju Allah, setiap hari mesti menjadi kenangan manis tentang cerita perhubungan kita dengan Allah Taala. Seorang beriman sentiasa terkenang kebaikan Tuhannya, rahmat dan perlindungan-Nya. Apabila anda menatap wajah kasih seorang isteri, rasa syukur pada Allah kerana mempertemukan anda dengannya. Selalu mengingati jasa-jasa Allah Taala ketika anda menyambut kepulangan suami dan anak-anak selamat sampai di rumah, tiada kemalangan dan musibah berlaku kerana rahmat dan perlindungan Allah Taala. Begitulah mata seorang yang beriman sentiasa melihat sesuatu dengan bersandarkan kepada kuasa Allah Taala. Demikian juga dengan tangan dan kakinya, telinga dan lidahnya sentiasa mengingati Allah Taala ketika melakukan sesuatu perbuatan. Sepertimana hadis Rasulullah SAW menghuraikan maksud bersandar pada kuasa Allah:
”Apabila Aku telah mencintainya, Aku menjadi penglihatan yang ia melihat dengannya, Aku menjadi tangannya yang ia memukul dengannya dan Aku menjadi kakinya yang ia berjalan dengannya.” Hadis riwayat Imam Bukhari.
Makna yang tersirat di dalam hadis ini adalah kita yang mengaku diri beriman ini seharusnya sentiasa mengingati Allah ketika melakukan sesuatu, memikirkan sesuatu atau merasai sesuatu. Sandarkannya pada Allah Taala. Jika diuji, hati memujuk supaya reda dengan takdir-Nya. Jika diberi nikmat, hati mengingati jangan terlalu gembira kerana nikmat itu hanya pinjaman Allah Taala.

Sumber : DrJuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 5th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Maulid Nabi SAW dalam pandangan Ulama Salaf

No Comments »

Maulid Nabi SAW dalam pandangan Ulama Salaf

Para pembaca, di bulan yang baik ini, mari kita me refresh kembali pandangan kita dengan melihat pendapat para Ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah terhadap peringatan maulid nabi SAW.

Firman Allah ta`ala:

“فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْمَلُوْنَ”.

Artinya:

“Maka bertanyalah kepada ahli zikir (orang yang mempunyai ilmu) jika kamu tidak mengetahui”

(Surah al-Nahl: 43 dan Surah al-Anbiya’: 7)

Perintah untuk bertanya kepada ahli zikir yakni ulama’ yang berilmu dan ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang bertaqwa dan mengamalkan ilmunya, ternyata disuruh oleh Allah ta`ala seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran. Ini membuktikan bahwa pendapat para ulama’ sangat penting, sebab mereka adalah pewaris para nabi. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

“إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ”.

Artinya:

“Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi, dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar maupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu, barangsiapa mengambilnya, ia telah mengambil bagian yang sangat banyak”

(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Pembaca yang dikasihi sekalian, para ulama’ yang pendapatnya kami nukilkan di dalam artikel ini adalah ulama’ pilihan yang kesalehannya telah dikenal di seluruh dunia. Mereka adalah orang yang sangat takut kepada Allah. Semoga dengan membaca dan melihat pendapat mereka, hati kita terbuka untuk memahami mengenai peringatan maulid Nabi dengan benar. Amiin Ya Rabb.

PENDAPAT ULAMA’ AL-SALAF AL-SALEH

PENPAPAT AL-IMAM HASAN AL-BASRI[1]

Al-Imam Hasan al-Basri[2] adalah seorang tabi`in yang lahir di kota Madinah pada dua tahun terakhir pemerintahan Khalifah `Umar bin Khattab radiyallahu`anhu suatu ketika dahulu bahkan Khalifah `Umar radiyallahu`anhu mendoakan beliau dengan doanya berikut:

“اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ وَحَبِّبْهُ إِلَى النَّاسِ”.

Artinya:
“Ya Allah jadikan dia sebagai orang yang memiliki kefahaman terhadap agama dan dicintai oleh masyarakat”

Kecerdasan dan kesalehan al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu menarik perhatian para sahabat sehingga mereka pun memberikan tempat terhormat kepada beliau. Sayyiduna Anas bin Malik radiyallahu`anhu berkata:[3]

“Bertanyalah kepada al-Hasan, karena dia masih ingat sedangkan kami telah lupa”.

Demi melaksanakan anjuran sahabat yang selama 10 tahun menjadi pembantu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ini, mari kita lihat bagaimana pendapat al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu terhadap peringatan maulid Nabi. Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahwa al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu mengatakan:[4]

“وَدِدْتُ لَوْ كَانَ لِيْ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ ذَهَبًا لأَنْفَقْتُهُ عَلَى قَرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُوْلِ”.

Artinya:

“Andai kata aku memiliki emas sebesar bukit Uhud, maka akan kudermakan semuanya untuk penyelenggaraan pembacaan maulid Rasul”

Ucapan al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu di atas menunjukkan bahwa para tabi`in menaruh perhatian yang sangat besar terhadap kelahiran Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam. Bagaimana tidak, beliau rela mendermakan seluruh hartanya demi menyelenggarakan pembacaan sejarah kelahiran Nabi sallallahu`alaihi wasallam. Jadi bagimana pula dengan kita?

Sudahkah kita dermakan sebagian harta kita demi memuliakan hari kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam? Jika untuk memuliakan dan mengenang hari jadi organisasi, hari jadi perusahaan, hari jadi keluarga, hari jadi anak kita, hari perkawinan, kita rela mengeluarkan jumlah harta yang banyak. Tetapi untuk mengenang kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ada sebagian kita yang merasakan keberatan dan enggan untuk mendermakan sebagian hartanya. Semoga Allah memberi kita taufiq dan hidayah. Amiin ya Rabb.

PENDAPAT AL-SYEIKH MA`RUF AL-KARKHI (W. 200 H)

Al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimaullah adalah seorang ahli sufi terkemuka. Cerita tentang kesalehan beliau sangat banyak dan salah satunya adalah kekuatan prasangka baik beliau kepada sesama Muslim.

Suatu hari ketika beliau sedang berpuasa sunat, al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah berjalan melewati seorang yang membagi-bagikan air secara hebat. Dengan suara lantang lelaki itu berkata:

“Semoga Allah merahmati orang yang mau minum air ini”.

Mendengar ucapannya, al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah berhenti dan meminum air tersebut. Kemudian tanya seorang lelaki kepadanya:

“Bukankah engkau sedang berpuasa?”

Jawab beliau:
“Benar, akan tetapi aku berharap mendapatkan rahmat Allah sebagaimana doa lelaki tersebut”.[5]

Coba anda perhatikan keluasan ilmu al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimaullah, beliau berpuasa sunat tiada lain adalah demi mendapatkan rahmat Allah ta`ala. Ketika mendengar seseorang menjanjikan rahmat Allah dengan seteguk air, maka beliau pun segera meminumnya. Beliau berbaik sangka, percaya dan yakin bahwa Allah akan mengkabulkan doa lelaki tersebut. Ini merupakan sebuah bukti kesucian hati beliau.

Ucapan yang muncul daripada hati manusia yang berjiwa mulia seperti ini tentu tidak sama dengan ucapan seseorang yang belum diuji kesalehannya.

Al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimaullah sangat mengambil berat mengenai majlis maulid Nabi. Salam salah satu nasihatnya, beliau mengatakan:[6]

“مَنْ هِيَّأَ لأَجْلِ قَرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُوْلِ طَعَامًا، وَجَمَعَ إِخْوَانًا، وَأَوْقَدَ سِرَاجًا، وَلَبِسَ جَدِيْدًا، وَتَعَطَّرَ وَتَجَمَّلَ، تَعْظِيْمًا لِمَوْلِدِهِ، حَشَرَهُ اللهُ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ الْفِرْقَةِ الأَوْلَى مِنَ النَّبِيِّيْنَ، وَكَانَ فِيْ أَعْلَى عِلِّيِّيْنَ”.

Artinya:
“Barangsiapa menyediakan makanan, mengumpulkan teman-teman, menyiapkan lampu, memakai pakaian baru, memakai wangian dan menghias dirinya untk membaca dan mengagungkan maulid Rasul, maka kelak di hari kiamat Allah akan mengumpulkannya bersama para Nabi, orang-orang yang berada di dalam barisan pertama. Dan dia akan ditempatkan di `Illiyyin yang tertinggi”
Saudaraku yang dirahmati sekalian, kenyataan al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi di atas telah disampaikan lebih 1200 tahun yang lalu. Disebabkan itu, sungguh pelik jika dikatakan para ulama’ al-Salaf al-Saleh tidak menyuruh seseorang itu untuk memuliakan dan menyambut maulid nabi sallallahu`alaihi wasallam. Bentuk peringatan mereka mungkin agak berbeda dengan peringatan kita dewasa ini, akan tetapi isinya tetap sama yaitu memuliakan kelahiran Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.

PENDAPAT AL-SYEIKH SIRRI AL-SAQATHI (W. 253 H)

Al-Syeikh Sirri al-Saqathi adalah guru dari al-Syeikh al-Imam al-Junaid al-Baghdadi. Di samping itu, beliau juga merupakan murid Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah. Kesalehan dan kegigihan al-Syeikh Sirri al-Saqathi rahimahullah dalam beribadah tidak dinafikan lagi. Al-Syeikh al-Imam al-Junaid rahimaullah berkata:[7]

“Aku tidak melihat seseorang yang lebih hebat ibadahnya daripada Sirri, selama 98 tahun beliau tidak pernah berbaring kecuali pada saat sakit menjelang wafatnya”.

Artinya, al-Syeikh Sirri al-Saqathi rahimahullah senantiasa beribadah kepada Allah ta`ala, siang maupun malam. Jika harus tidur, itupun beliau lakukan dalam keadaan duduk, sehingga wudhu’nya tidak terbatal.

Sebagaimana guru, al-Syeikh Sirri al-Sqathi rahimahullah memiliki perhatian yang sangat besar terhadap peringatan maulid Nabi. Beliau mengatakan:[8]

“مَنْ قَصَدَ مَوْضِعًا يُقْرَأُ فِيْهِ مَوْلِدُ النَّبِيِّ فَقَدْ قَصَدَ رَوْضَةً مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ لأَنَّهُ مَا قَصَدَ ذَلِكَ الْمَوْضِعَ إِلا لِمَحَبَّةِ الرَّسُوْلِ. وَقَدْ قَالَ عَلَيْهِ السَّلامُ: مَنْ أَحَبَّنِيْ كَانَ مَعِيْ فِي الْجَنَّةِ”.
Artinya:
“Barangsiapa pergi ke sebuah tempat di mana di sana dibacakan maulid Nabi, maka dia telah berada di sebuah syurga, karena tujuannya pergi ke tempat itu tidak lain adalah untuk mengungkapkan rasa cintanya kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, sedangkan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam telah bersabda: Barangsiapa mencintaiku, maka dia bersamaku di syurga”

Coba kita perhatikan dengan teliti, beliau menyatakan bahwa seseorang yang duduk di tempat pembacaan maulid Nabi demi cintanya kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bererti dia sedang duduk di taman Syurga. Kenyataan al-Syeikh Sirri al-Saqathi di atas diucapkan selepas beliau mendalami al-Quran dan al-Hadith serta mengamalkannya. Sekarang terpulang kepada anda, sama ada mau mengikut pendapat ulama’ yang kami kemukakan atau mau mengikut pandagan golongan-golongan yang yang mengharamkan dan membid`ahkan maulid dan kesalehan mereka juga belum diuji.

Click here to read more.. »

Share on Facebook
Posted on February 3rd 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Info : Baucer buku 1Malaysia tidak berkesan

No Comments »

20120203-181709.jpg

Baucer buku 1Malaysia tidak berkesan

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyifatkan baucer buku 1Malaysia tidak berkesan melainkan ianya dipanjangkan tempoh sehingga ke satu tarikh yang munasabah.

Ini, katanya kerana baucer buku dikeluarkan saat para pelajar menghadapi pepepriksaan akhir dan selepas peperiksaan mereka akan bercuti panjang sedangkan tempoh sah baucer pula akan tamat pada 31 Mac depan.

Baucer itu juga, katanya tidak boleh dijual beli dan hanya dibenar untuk menukarnya dengan buku pada nilai RM200 sahaja.

Justeru, ujarnya baucer itu seeloknya diberikan di awal pembukaan semester untuk sesi baru pengajian kerana waktu itulah mereka memerlukan buku.

Tambahnya, begitu juga jika diberikan pada permulaan pengajian matrikulasi atau sewaktu Pesta Buku Antarabangsa pada bulan April.

“Baucer tidak menepati masa yang sesuai dan inilah menyebabkan sebahagian pihak menjual baucer tersebut untuk mendapatkan wang tunai,” katanya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana keperluan mereka buat masa ini bukan buku disebabkan peperiksaan akhir telah berlangsung dan mereka akan bercuti.

Justeru itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan agar kerajaan mengkaji juga bebanan lain yang dihadapi oleh mahasiswa seperti kos yuran, sewa rumah yang tinggi, kos hidup, PTPTN dan lain-lain.

“Sedang Islam meletakkan bahawa kerajaan wajib memberi pendidikan percuma pada rakyat bukan sekadar anugerah wang one off seperti baucer buku tersebut,” katanya.

Summer : Malaysianinsider.com

Share on Facebook
Posted on February 3rd 2012 in My Artikel, My Education, My Info

Dr Juanda : Kebebasan memudaratkan anak, kongkongan menjadikan mereka liar

No Comments »

Kebebasan memudaratkan anak, kongkongan menjadikan mereka liar

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Persepsi ibu bapa terhadap kaedah mendidik anak berbeza-beza. Ramai yang percaya didikan dalam bentuk kebebasan bertindak dan berfikir secara kreatif adalah sebaik-baik kaedah. Tetapi, ada yang kecundang akhirnya kerana kebebasan itu memakan diri sehingga anak-anak tidak boleh berdisiplin mengikut undang-undang. Contohnya, anak-anak disuruh memilih sendiri jalan yang disukai, sembahyang atau tidak, menutup aurat atau tidak, mengaji Al-Quran atau tidak, suka hati sendiri kerana ibu bapa beranggapan bahawa agama adalah kesedaran hati bukan paksaan.

Pandangan sebegini sungguh ekstrim dan membahayakan anak. Seolah-olah membiarkan anak sendiri sesat di tengah hutan yang gelap tanpa bimbingan tangan dan suluhan cahaya untuk mencari jalan keluar. Hanya ibu bapa yang bodoh sahaja akan membiarkan anaknya dibaham harimau atau tenggelam dalam lautan maksiat. Kepada mereka yang berfahaman bebas dalam mendidik anak, maka hendaklah mereka berlaku adil. Anak-anak tumbuh sesuai dengan ransangan persekitarannya, jika di sekelilingnya sumber maksiat terlalu kuat mengapa tidak disediakan juga sumber-sumber mata air keimanan?

Lawan dari kaedah kebebasan adalah kaedah otoriter, kuku besi, yang memenjara jiwa anak. Anak tidak mempunyai peluang dan kebebasan langsung untuk memilih, semua diatur dengan disiplin yang ketat bahkan dalam perkara-perkara yang menjadi keperluan jiwanya sama sekali diharamkan walaupun agama menghalalkannya.

Amat merbahaya jika menggunakan pendekatan terlalu mengongkong anak bahkan tidak segan-segan mendera emosi dan fizikal jika mereka melawan. Agama melarang perbuatan mengeksploitasi anak, memaksakan kehendak kepada anak dan menafi hak mereka untuk bergembira, bermain dan berhibur.

Allah Taala berfirman tentang hak-hak anak yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. “ (Surah al-Anfal ayat: 27-28)

Rasulullah SAW juga mengingatkan dengan sabdanya yang bermaksud: “Seseorang dianggap berdosa, apabila membiarkan (tidak mempedulikan) orang yang wajib diberikan nafkah.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Anak-anak sentiasa dieksploitasi oleh orang-orang dewasa di sekelilingnya, sehingga mereka dipaksa untuk cepat dewasa dan melupakan alam fantasi kanak-kanak. Di sekolah, guru-guru memberi tekanan untuk bersaing dalam prestasi akademik, bahkan di sesetengah sekolah langsung tidak ditekankan kegiatan ko-kurikulum yang bertujuan membina sahsiah diri. Kerana terlalu ghairah dengan akademik, alam persekolahan menjadi kaku, keras dan menjemukan. Tiada rasa seronok dan teruja ketika melangkah ke gerbang sekolah.

Di rumah pula, ibu bapa terlalu menuntut segalanya mesti cemerlang, tuisyen sana sini, kelas tambahan dan pendedahan alam siber yang mempengaruhi anak menjadi anti sosial. Tak pandai bergaul atau bertukar idea dan kosong jiwa kepemimpinannya. Waktu luang diisi dengan duduk bermain game, tak tahu isu semasa dan buta berita dunia. Di sekolah tak aktif bermain sukan, di rumah pula memerap dalam bilik. Ibu bapa yang sibuk langsung tak ambil tahu perkembangan psikologi anak-anak, yang remaja pula mula mencari teman sehati sejiwa kerana ibu bapa tidak boleh diajak berkongsi.

Jika ditanya, sejauhmana anda mengenal anak sendiri, apakah jawapannya? Mungkin ramai yang ternganga kerana tidak menyedari bahawa anak-anak mereka cepat berubah. Gerak hati dan perkembangan otaknya jauh melampaui insting kita. Hubungan kita dengan anak-anak bagai wayar tak bersambung, mereka dengan dunianya dan kita pula dengan dunia kita sendiri.

Anak-anak memerlukan perhatian, mereka suka bercerita, kita pula malas nak melayan. Mereka suka bermain, kita pula tak ada masa, mereka suka dengan aktiviti lasak, kita pula takut cedera, mereka suka berfantasi kita pula pentingkan realiti. Mereka minat sukan, kita pula beralasan banyak kerja, mereka mahu kita menjadi pendengar, sedangkan telinga kita tidak sensitif lagi. Mereka mahu ditemani kita pula terpaksa membahagi peranan di sana-sini. Sebagai ibu bapa kita wajib memenuhi hak anak, bukan hanya makan, minum dan wang ringgit tetapi keperluan jiwa mereka yang hauskan perhatian.

Mungkinkah para orang tua berani mengorbankan masanya satu jam saja setiap malam sebelum tidur untuk mendengarkan curahan hati anak-anak tentang apa-apa saja yang dialaminya hari ini? Atau sekian saat untuk mendakap mereka sebelum pergi ke sekolah, atau lima waktu sehari semalam berjemaah kemudian mencium dahi mereka selepas salat. Atau meminta maaf jika anda tidak memenuhi janji dan memberi pujian walaupun mereka gagal. Bersediakah kita menjadi hakim yang adil dan berlembut jika terjadi perbalahan. Mampukah kita duduk menemani mereka mengerjakan tugas sekolah, membelikan pensilnya yang selalu saja hilang atau patah.

Kerana ramai orang tua yang kekok memeluk anak-anak mereka, malu mencium dahi dan meminta maaf jika bersalah. Terlalu keras hingga menghempas maruah anak sendiri dengan kata-kata keji, penghinaan dan makian yang melampau. Ramai orang tua yang menakut-nakuti anak dengan gelaran ahli neraka jika mereka tidak mahu sembahyang, mengapa tidak dipujuk dan diberi khabar gembira tentang syurga bagi yang beramal? Mengapa orang tua suka sangat mengancam dengan neraka, siksa dan azab Allah sehingga anak menganggap Tuhannya kejam dan tidak ada belas kasihan kepada hamba?

Sebelum terlambat, ubahlah gaya didikan anda! Hargailah anak setinggi nilai syurga, kerana merekalah anda layak mendapat syurga dunia dan akhirat.

Sumber :- Drjuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 3rd 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Info : 12% rakyat malaysia hadapi masalah mental – MPA

No Comments »

20120203-121911.jpg

12% rakyat malaysia hadapi masalah mental – MPA

SUNGAI PETANI 3 Feb. – Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental.

“Macam kemurungan ada dua peratus, sakit risau ada 1.8 peratus dan psikosis ada satu peratus. Penyakit mental yang serius adalah macam psikosis, dan kemurungan… penyakit keresahan itu pun kronik juga dan kemudiannya penyakit ringan-ringan yang lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, Tinjauan Kajian Mobiditi dan Kesihatan itu juga mendapati wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki.

“Puncanya bagi wanita kerana masalah dengan pasangan dan masalah dengan anak-anak… kedua-dua ini punca yang penting. Bagi lelaki pula punca lebih kepada kemalangan jalan raya yang mana mengalami kecederaan otak dan penyalahgunaan dadah,” katanya. –

Sumber : utusan.com.my

Share on Facebook
Posted on February 3rd 2012 in My Artikel, My Info, My Malaysia

Perlis : Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah

No Comments »

Perlis : Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah

NOOR yang cedera selepas dibelasah 15 pelajar perempuan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar semalam.

KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk ‘dikerjakan’ sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulan pelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.

Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.

Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.

Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.

Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.

Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.

“Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya,” kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.

Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.

Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.

“Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.

“Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.

“Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya,” ujarnya.

Sumber :- Kosmo.com.myhttp://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Share on Facebook
Posted on February 2nd 2012 in My Artikel

Dr Juanda : Membenci Takdir Menyebabkan Kufur

No Comments »

Membenci Takdir Menyebabkan Kufur

Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis)

Seseorang meminta kepada Allah SWT agar hidupnya berkat dan selamat, lalu Allah SWT memilih untuknya takdir yang terbaik. Tetapi dia marah dan enggan menerima takdir Allah itu, dia berkata: ”Mengapa Tuhan memberiku harta yang sedikit sedangkan saudaraku yang lain kaya raya? Tuhan tidak adil! Na’uzubillah.

Sepasang suami isteri telah lama berkahwin, berbelas tahun menanti kehadiran anak. Sedangkan jiran mereka mempunyai sembilan orang anak perempuan. Akhirnya merekapun dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel. Ketentuan Allah tiba, bayi mereka meninggal kerana sakit kuat. Sang ayah memandang langit mencari jawapan atas takdir Tuhan, dia berkata: ”Mengapa tidak Engkau ambil anak mereka yang ramai itu, malah anak kami yang seorang jua yang Engkau mahu, di mana keadilan-Mu ya Tuhan? Na’uzubillah.

Membenci takdir boleh membawa kepada kekufuran. Membenci maksudnya marah, tidak suka, menolak, menyatakan tidak puas hati dan yang paling ringan ialah mengeluh tanda tidak selesa. Sebaik-baik orang yang mencinta ialah dia reda dengan perbuatan kekasihnya. Apakah perbuatan Allah SWT semuanya baik untuk makhluk-Nya? Ya! Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya melainkan mereka memilih kezaliman itu sendiri. Ada hikmah di sebalik musibah dan mesti ada kebaikan yang masih tersembunyi bagi mereka yang reda dan sabar. Segala takdir manusia itu berada pada ketentuan ilmu Allah SWT, tiada seorang hambapun mengetahui rahsia takdir Allah SWT.

Kisah di dalam surah al-Kahfi banyak memberi pengajaran kepada diri kita. Kisah tentang ilmu Allah SWT yang dikurniakan kepada Khidr AS, beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang qadak dan qadar Allah SWT kepada makhluknya. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari yang mafhumnya: ”Semasa Nabi Musa AS berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada tuan? Nabi Musa menjawab: ”Tidak ada.” Lalu ditegur oleh Allah SWT: ”Ada seorang hamba-Ku yang lebih ilmunya daripada kamu.”

Kemudian Nabi Musa menghadap Khidr AS untuk berguru kepadanya. Dalam perjalanan mereka berdua berlaku beberapa perkara pelik yang dilakukan oleh Khidr AS. Yang pertama beliau telah membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah padahal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua. Perbuatan Khidr AS jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa AS. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr AS itu. Musa AS menegur Khidr AS supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr AS merasa telah sampailah waktu perpisahannya dengan Musa AS. Dia berkata melalui firman Allah SWT yang bermaksud: ”Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Oleh itu aku bocorkan dengan tujuan mencacatkannya. Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur. Oleh itu kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang saleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya.” Surah al-Kahfi: Ayat 79-82.

Demikianlah rahsia ilmu Allah SWT yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami kesemuanya dengan tepat. Qadak dan qadar Allah SWT itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah SWT untuk kita. Hasan al-Basri pernah berkata: Wahai anak Adam, Musa telah menegur Khidr sebanyak tiga kali, sehingga Khidr berkata: ”Inilah saat perpisahanku denganmu.” Itu yang dilakukan oleh Khidr kepada Musa, maka bagaimanakah dengan Tuhanmu yang kamu menentangnya berulang kali dalam sehari? Apakah kamu tidak takut Tuhan akan berkata: Inilah saat perpisahan-Ku denganmu.?”

Sikap yang terbaik adalah akur dan reda atas apa sahaja ketentuannya. Tetapi jangan bersikap menyerah kepada takdir tanpa berikhtiar kerana itu adalah penipuan yang berbahaya. Syarat reda mestilah dengan ikhtiar. Hal ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Beliau dan tenteranya hendak memasuki suatu bandar di Syria. Tetapi tertahan oleh wabak menular yang menyerang bandar itu. Panglima tenteranya, Saidina Abu Ubaidah berkata: Apakah tuan lari dari qadak Allah? Umar menjawab: ”Ya, kita lari dari qadak Allah kepada qadar Allah juga.”

Makna qadak adalah ketentuan yang telah terjadi dan qadar adalah ketentuan yang belum terjadi. Untuk itu ikhtiar adalah wajib bagi mereka yang mengaku reda atas ketentuan Allah SWT. Dan jangan sekali-kali memilih atas apa yang telah Allah SWT pilihkan untuk hidup kita. Sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Apabila kamu ditimpa musibah janganlah kamu katakan: ”Sungguh seandainya saya berbuat begini, nescaya akan jadi begini dan begini, tetapi katakanlah: Ini semua ketentuan Allah dan apa-apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sesungguhnya ungkapan ’seandainya’ itu membuka peluang bagi perbuatan syaitan.” Hadis riwayat Imam Muslim.

Sumber :- http://drjuanda.com/

Share on Facebook
Posted on February 2nd 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Hantu Kak Limah kena Pecah Cermin Kereta

No Comments »

20120201-181003.jpg

‘2 hantu’ pecah kereta Kak Limah

LOPONG…Dalimawati menunjukkan cermin kiri keretanya yang dipecahkan.
KUALA LUMPUR: Pelakon watak Hantu Kak Limah dalam filem komedi seram Hantu Kak Limah Balik Rumah, Dalimawati Ismail cedera lengan kiri selepas disamun di lampu isyarat berhampiran Stadium Bukit Jalil, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika aktres berusia 55 tahun itu memandu Toyota Vios bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Puchong selepas tamat sesi penggambaran di Gombak.

Menurutnya, sebaik berhenti di lampu isyarat berhampiran Stadium Bukit Jalil yang bertukar merah, tiba-tiba dia terdengar dentuman pada bahagian kiri keretanya.

“Pada mulanya saya sangka kereta saya dilanggar. Pada masa sama, saya melihat dua lelaki bermotosikal memecut meninggalkan kawasan itu dan seorang daripada mereka memegang beg tangan saya.

“Kemudian, lengan kiri saya terasa pedih dan mendapati ia berdarah akibat terkena serpihan cermin kereta yang dipecahkan. Ketika itu baru saya sedar menjadi mangsa samun,”

Related Posts with ThumbnailsShare on Facebook
Posted on February 1st 2012 in My Artikel