MB Perlis : Guru diingat tak terpengaruh dakyah jatuhkan k’jaan

No Comments »

MB Perlis : Guru diingat tak terpengaruh dakyah jatuhkan k’jaan

Warga pendidik khususnya di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan demi kepentingan diri mereka.

Menteri Besar Perlis, Datuk Md Isa Sabu ketika memberikan ingatan itu berkata sebagai golongan profesional dan intelektual, para guru perlu sentiasa berada di hadapan dan peka dengan usaha-usaha kerajaan yang sangat menitikberatkan soal pendidikan.

“Saya tidak mahu golongan pendidik terpedaya dengan pihak yang mahu menggugat kekuatan kerajaan. Sama-samalah hindarkan diri daripada dakyah yang tidak membawa faedah dan merosakkan peribadi,” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun 2012 Jabatan Pelajaran Perlis, di Kangar semalam.

Md Isa berkata para guru yang merupakan golongan berpengaruh juga mesti memahami semua dasar yang dilancarkan kerajaan terutama yang melibatkan sistem pelajaran negara.

“Kerajaan yang ada sekarang meletakkan kepentingan anak-anak lebih daripada yang lain-lain. Pemberian wang bantuan RM100 kepada semua pelajar baru-baru ini menunjukkan kerajaan bersikap adil,” katanya.

Menteri Besar berkata warga pendidik juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan bermuhasabah diri serta tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki sekarang kerana tuntutan dan cabaran masa depan akan bertambah getir.

“Setiap guru perlu muhasabah diri dan menilai apakah tahap komitmen yang telah diberikan dan sejauh mana iltizam dalam menjunjung imej dalam profesion ini.

“Adakah sumbangan para guru sudah mencukupi? Saya juga berharap para guru dapat memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab dalam usaha membangunkan pendidikan di Perlis,” katanya.

- Bernama

Share on Facebook
Posted on February 1st 2012 in My Artikel, My Education

Dr Juanda : Wanita Melankolik Cabar Kejantanan Lelaki

No Comments »

Wanita Melankolik Cabar Kejantanan Lelaki

Oleh: Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis)

Salehah masih melayan suara hatinya yang mengadu sakit, airmata berlinangan membasahi selimut tebalnya yang sedari tadi menemani. Ranjang pengantin lama yang semakin bergelora dihempas tsunami. Hatinya kosong, hampa, sendiri mencuba tegar menghadapi kerisauannya. Fikirannya melayang ke hari-hari kelmarin, tahun-tahun lepas, dahulu….ketika itu…..kenangan pahit satu-satu diingat, dibuka, ditatapi dengan pilu peristiwa yang sentiasa menyudutkannya ke satu ruang dalam kehidupan rumahtangga yang dibina bersama suami, dia berasa bukan insan yang penting bagi suami. Adanya aku hanya untuk dimanipulasi, diperguna, dibebankan tanggung jawab tanpa dihargai, jauh sekali memuji. Untuk apakah aku bertahan sepanjang usia perkahwinan ini? Ya untuk menagih cintanya, aku mencintai dan menggilai dirinya. Akhirnya hati Salehah akur dan reda, beginilah kepahitan cinta. Perasaan yang mampu meruntuhkan ego anda, bertekuk lutut di hadapan kekasih. Adakalanya kebencian berkobar-kobar, tapi jauh di dasar hati anda masih menyimpan cinta itu sampai ke mati.

Biasanya wanita cepat terasa hati, benci dan marah apabila suami melakukan suatu kesalahan. Itu pun bergantung kepada jenis-jenis kesalahan yang bergred. Gred A maknanya tak boleh dimaafkan, B pula masih boleh dipertimbangkan dan C, lupakanlah kesalahan yang remeh-temeh itu. Sepanjang ikatan perkahwinan dijalinkan bolehkan anda senaraikan punca-punca konflik yang menggangu jiwa anda?

Semua konflik yang terjadi biasanya tiada lain berpunca dari kurang kesefahaman sikap dan lemah ikatan hati antara suami dan isteri. Selain itu nafkah yang tak telus dan tanggung jawab yang diabai sering kali menjadi bara api yang meranapkan cinta. Semua ujian rumah tangga ini sesungguhnya telah berjaya membentuk siapakah diri kita yang sebenar. Perjalanan rumahtangga yang penuh luka dan likunya menjadi suatu proses mendewasa, mematang dan menyempurna keperibadian anda. Tetapi ramai juga yang terkandas, menyerah kalah oleh permainan nasib dan putus asa. Seperti Salehah, perempuan berjiwa melankolik yang terlalu sensitif, penyedih dan lemah semangat.

Tidak dinafikan sifat halus dan lembut hati menjadi perhiasan seorang wanita, alangkah merbahaya jika mereka tidak memiliki sifat seperti ini. Mungkin dunia ini akan huru hara, ramai anak-anak yang terdera, suami-suami yang cedera dan lelaki-lelaki yang tak gembira. Bagai bumi tanpa hujan, hilang kehidupan tanpa wanita yang penuh kasih sayang. Tapi, jika kelembutan itu terlalu melampau, sensitif gilak (kata orang Sarawak) sampai boleh melemahkan semangat untuk menyahut cabaran, sifat ini sungguh merugikan anda. Kalau sedih kerana konflik bergred B atau C dengan suami jangan korbankan diri anda, untuk apa memudaratkan diri (murung melampau,depresi akhirnya jatuh sakit) sedangkan si dia pun rileks saja. Nanti anda pula yang kelihatan cepat tua sedangkan suami sentiasa ceria dan nampak makin muda. Terimalah ia sebagai satu lumrah kehidupan. Kalau terlalu memberatkan masalah yang remeh dan masih boleh dimaafkan bagaimana pula jika Tuhan mendatangkan bala’ yang lebih besar? Tengoklah keadaan wanita-wanita yang lebih teruk dibelasah secara fizikal dan mental oleh suami-suami dayus di luar sana. Rupa-rupanya anda lebih beruntung berbanding mereka.

Simpanlah air mata anda pada saat yang sesuai dan biarlah airmata itu mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Tiada yang lebih dicintai Allah Taala daripada dua titis, titis airmata kerana takut kepada-Nya dan titisan darah yang tertumpah kerana berjuang di jalan-Nya.” Hadis riwayat al-Tirmizi)

“Dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka, mata yang menangis kerana Allah dan mata yang berjaga malam di medan jihad.” (Tirmizi)

Jiwa yang murung dan sedih berlawanan dengan jiwa yang syukur dan redha. JIka anda bersedih sungguh anda telah kurang adab kepada Allah Taala. BAyangkanlah jika seorang anak merajuk kerana tidak diberi apa yang dimahukannya, orang tuanya faham bahawa barang-barang mewah dan berjenama itu boleh membuat anak mereka manja dan tak pandai menghargai nilai wang, tentu saja bila dituruti semua kemahuannya mental anak itu akan menjadi rosak. Anak itu pasti sedih, merajuk, mengamuk dan mungkin lari dari rumah. Mesti anda akan menilai dia sebagai anak yang tidak beradab dan tidak sopan kepada ibu bapanya. Bagaimana pula halnya manusia yang selalu meratapi takdir, sedih dengan ketentuan Allah pada setiap kali diuji. Serba tak puas hati, berkeluh kesah, merajuk, cenderung menuduh orang lain membawa masalah untuk dirinya. Apakah insan sebegini layak disebut sebagai hamba Allah yang redha dan syukur?

Tidak semua yang kita mahu, dapat. Tidak semua yang kita impi jadi nyata, tidak semua suami sempurna, mesti ada cacat celanya sebab dia bukan malaikat. Selagimana dia disebut insan maka dia serba lemah dan cacat. Tengok suami orang nampak ok, baik hati, pemurah, tak kedekut, tak cerewet, lambat marah dan cepat sejuk, pemaaf, suka tolong buat kerja rumah, manakala suami anda kebalikannya. Anda mesti sedih, cuba nak bandingkan dengan orang lain. JAnganlah menilai apa yangnampak dimata dan didengar dari mulut orang lain saja boleh jadi ada pemalsuan dalam cerita-cerita itu. Yang penting adalah anda harus menerima suami apa adanya dengan segala kelemahan itu, mesti ada kelebihan yang lain yang anda sukai daripada keperibadiannya. Kemudian tidak sesekali putua asa untuk menasihati dan memberi galakan kepada suami supaya memperbaiki kelemahan dirinya.

Sumber :- http://drjuanda.com/

Share on Facebook
Posted on February 1st 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Forum seks Kelab Taat Suami diserbu : “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam”

No Comments »

Forum seks Kelab Taat Suami diserbu

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak (JAIPk) semalam menyerbu forum anjuran Kelab Isteri Taat (KTS) yang dikatakan untuk mempromosikan “seks suci”.

Menurut laporan Berita Harian, jabatan itu menyerbu sebuah banglo mewah di Ipoh, tempat kelab itu menganjurkan forum kempen “Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam”.

Lima puluh hadirin dari KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd, yang diasaskan oleh bekas ahli kumpulan al-Arqam yang diharamkan, dilaporkan tergamam apabila sepasukan 10 anggota penguatkuasa JAIPk menyerbu forum tersebut di Persiaran Harimau.

Pengarah JAIPk, Mohd Yusop Husin mengesahkan serbuan itu dan berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu, Presiden KTS, Fauziah Ariffin, bagaimanapun, menegaskan kempen tersebut tidak salah kerana menurutnya, setiap aspek kehidupan Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi oleh semua pasangan Islam.

“Kehidupan Rasul perlu dicontohi, termasuk mengenai seks… Islam membenarkan seks, tetapi hubungan seks suci di antara suami dan isteri…,” katanya dalam laporan Berita Harian.

Ini turut disokong oleh pemimpin KTS di Kuala Terengganu dan Kota Kinabalu, lapor akhbar itu lagi.

Serbuan itu juga dilaporkan oleh akhbar Inggeris The Star dan New Straits Times, yang memetik Mufti Selangor, Mohd Tayes Abdul Wahid sebagai berkata kempen itu boleh merendahkan martabat Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Tamyes Mohd berkata, kempen yang amat pelik itu bagi meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 5 Februari, adalah tidak wajar kerana Rasulullah “tidak hanya berkahwin untuk seks”.

Sebaliknya, kata beliau, Rasulullah berkahwin dengan wanita dari suku kaum yang berbeza untuk menyatukan orang Arab dan menyebarkan Islam,” katanya, sambil menegaskan supaya digunakan cara yang lebih bijaksana untuk membanteras seks haram.

Sumber :- http://www.malaysiakini.com

Share on Facebook
Posted on January 26th 2012 in My Artikel, My Malaysia

Isu SBPA : Gaji pegawai lebih tinggi timbul perasaan tidak puas hati kakitangan awam

No Comments »

Isu SBPA : Gaji pegawai lebih tinggi timbul perasaan tidak puas hati kakitangan awam

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Satu cadangan kenaikan gaji yang lebih tinggi dicadangkan untuk pegawai tertinggi kerajaan di bawah Skim Persaraan Baru Kakitangan Awam (SBPA) telah menimbulkan perasaan tidak puas hati 1.4 juta kakitangan awam-kunci utama untuk kemenangan Barisan Nasional (BN).

Di bawah skim baru berkenaan, pegawai atasan kerajaan akan dibayar sebanyak RM80,000 sebulan berbanding kakitangan awam hanya menerima kenaikan RM1.70 sebulan dan telah membangkitkan kemarahan beberapa kesatuan sekerja dan juga pembangkang.

Kemarahan mereka telah membawa kepada pilihan raya akan datang dijangka dalam tahun ini dan menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyemak semula skim berkenaan selepas protes yang dilakukan Kongres Kesatuan Sekerja untuk kakitangan awam(Ceupacs). Difahamkan, skim berkenaan dibuat tanpa melibatkan penglibatan Ceupacs.

The Malaysian Insider difahamkan, di bawah skim SBPA, 36 pegawai atasan kakitangan awam akan memperoleh RM36,000 sebulan. Ketua Hakim akan memperoleh RM80,000 dan Ketua Setiausaha Negara akan mendapat RM60,000 sebulan.

Timbalan Presiden Ceupacs I, Azih Muda mengesahkan maklumat berkenaan dan maklumat lanjut berada dalam tangan kerajaan.

“Ya, ya, memang begitu, sama seperti di dalam kalangan pusingan terbabit… gaji pokok untuk mereka yang berada di perkhidmatan utama adalah RM36,000,” katanya.

Tapi Azih enggan untuk mengulas lanjut berkenaan perkara itu, dan menegaskan kerajaan telah pun mengumumkan kumpulan bertindak untuk mengkaji SBPA.

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan satu kumpulan khas untuk menyemak semula SBPA bermula sekarang hingga 16 April, diketuai oleh bekas pengarah kakitangan awam Tan Sri Ismail Adam, dan akan memasukkan wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Ketua Hakim Negara, dan Kementerian Kewangan termasuk Ceupacs.

“Saya lebih selesa untuk tidak mahu mengulas perkara itu, kerajaan sudah membentuk jawatankuasa kerja bagi menyemak semula perkara itu, dan pelaksanaannya telah ditangguhkan, jadi saya percaya kerajaan akan menyelesaikan perkara itu,” jelas Azih.

Namun begitu, beliau mengesahkan jawatankuasa kerja berkenaan akan menyemak secara spesifik bayaran terhadap servis utama.

“Mereka akan menyemak semuanya,” katanya sebelum memutuskan panggilan.

Cuepacs sebelum ini menuntut kerajaan menangguhkan skim terbabit berikutan pertubuhan itu tidak diajak berunding berkenaan perkara itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan perbezaan pendapatan antara kakitangan awam di peringkat tertinggi sehingga lima angka, sementara kakitangan bawahan hanya memperoleh jumlah yang jauh lebih kecil.

Pakatan Rakyat turut menuduh Putrajaya “menyalahgunakan” skim berkenaan, dan mengkritik skim tersebut.

“Beritahu saya jumlah tersebut, saya tahu mereka di perkhidmatan utama memperoleh antara RM36,000-RM60,000.

“Adakah adil sekiranya KSN (Ketua Setiausaha Negara) mendapat RM60,000 sebulan, sedangkan kerani hanya memperoleh kurang RM100 kenaikan gaji,” jelas Mahfuz apabila ditanya pendapatnya berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata PAS akan terus menuntut kerajaan menyemak semula skim berkenaan supaya kenaikan yang “adil” terhadap kakitangan awam.

“Segala-galanya harus disemak semula… ia seharusnya diperbaiki supaya kumpulan sokongan memperoleh pendapatan yang lebih berpatutan.

“Selain itu, pembayaran anggota tentera juga perlu disemak, mereka tiada kesatuan,” katanya.

Belanjawan 2012 telah menetapkan sejumlah RM64.1 billion bagi gaji dan pencen kakitangan awam, 28 persen daripada keseluruhan belanjawan, peningkatan daripada RM36.9 billion lima tahun lalu.

sumber :- http://www.themalaysianinsider.com

Share on Facebook
Posted on January 20th 2012 in My Artikel, My Malaysia

Isu SBPA : 10 ahli pasukan khas semak semula SBPA

No Comments »

10 ahli pasukan khas semak semula SBPA

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menyerahkan watikah perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas bagi menyemak semula Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu juga akan menjemput wakil kementerian, ketua skim perkhidmatan, kesatuan dan persatuan sekerja serta pihak berkaitan jika ada keperluan dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit SBPA yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.
“Semua isu berhubung pelaksanaan SBPA perlu sampai kepada kita (pasukan petugas) dalam tempoh sebulan ini dan pasukan petugas akan memanggil mereka untuk perbincangan lanjut, malah kita sudah menerima banyak maklum balas, termasuk menerusi e-mel.
“Kita akan mengambil kira semua ini. Jika ada isu membabitkan perguruan umpamanya, kita akan memanggil Ketua Pengarah Pelajaran dan juga persatuan untuk perbincangan dan mencari penyelesaian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas itu di sini, semalam.

Pasukan petugas itu ditubuhkan selepas kerajaan mengumumkan SBPA akan disemak semula dan perbincangan dengan pihak berkaitan diadakan bagi menyelesaikan isu dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA.

Pasukan itu diberi tempoh dua bulan sehingga 16 April depan untuk mengkaji isu dibangkitkan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Mohd Sidek berkata, pasukan petugas berkenaan akan berusaha mendapatkan penyelesaian terbaik mengenai isu dibangkitkan, tetapi menegaskan kerajaan mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak

Share on Facebook
Posted on January 19th 2012 in My Artikel, My Education, My Malaysia

My Sunnah : Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi’e Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi’e

1 Comment »

165 – Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi’e
Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi’e

By : http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Pendapat:

1 – Amalan mensedekahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah tidak tsabit dari sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

2 – Pahala bacaan al-Qur’an yang disedekahkan kepada orang yang telah mati adalah tidak sampai.

Penjelasan:

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

أَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (٣٨) وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

Terjemahan: Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat selain apa yang telah diusahakannya. (Surah an-Najm, 53: 38-39)

وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْبَغِي لَهُ إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ (٦٩) لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا

Terjemahan: Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan. Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup. (Surah Yaasiin, 36: 69-70)

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Terjemahan: Setiap diri bertanggungjawab ke atas apa yang telah dilakukannya. (Surah al-Muddatsir, 74: 38)

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Terjemahan: Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Surah al-Baqarah, 2: 286)

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلامٍ لِلْعَبِيدِ

Terjemahan: Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh, maka amal tersebut adalah untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang melakukan kejahatan (dosa), maka itu adalah atas dirinya sendiri dan tidaklah Tuhanmu menganiaya hambanya. (Surah Fushilat, 41: 46)

وَمَا تُجْزَوْنَ إِلا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Terjemahan: Kamu tidak akan diberi balasan melainkan apa yang telah kamu usahakan. (Surah as-Saffat, 37: 39)

مَنْ كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلأنْفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ

Terjemahan: Sesiapa yang kafir, maka dia sendirilah yang menanggung (akibat) kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh, maka amal tersebut adalah untuk diri mereka sendiri. (Surah ar-Ruum, 30: 44)

فَالْيَوْمَ لا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَلا تُجْزَوْنَ إِلا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Terjemahan: Maka pada hari kiamat tiada seorang pun yang dianiaya dan tidak dibalas kepada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan. (Surah Yasin, 36: 54)

Penjelasan Para Ulama Bermazhab Syafi’e:

Berkenaan ayat 38-39 surah an-Najm, di antaranya al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkata di dalam tafsirnya:

وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى أي: كما لا يحمل عليه وزر غيره، كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه. ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي، رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء، ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة، رضي الله عنهم، ولو كان خيرا لسبقونا إليه، وباب القربات يقتصر فيه على النصوص، ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والآراء

Terjemahan: “Firman Allah (maksudnya: Dan sesungguhnya seseorang manusia itu tidak mendapat (pahala) selain daripada apa yang telah mereka usahakannya). Di sini bermaksud:

Iaitu sebagaimana seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain, maka begitu jugalah bahawa seseorang itu tidak akan mendapat ganjaran (pahala) melainkan dari apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini, Imam asy-Syafi’e bersama para ulama yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hasil sedekah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha dia sendiri. Atas sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah mensyari’atkan kepada umatnya (supaya menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang mati) dan tidak juga pernah menyukai atau memberikan petunjuk kepada mereka sama ada dengan nash (dalil yang jelas/terang) dan tidak juga dengan isyarat serta tidak dinukilkan dari walau seorang pun sahabat (bahawa mereka pernah mengirimkan pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan tersebut baik, sudah tentu para sahabat telah mendahului kita di dalam mengamalkannya. Dan di dalam permasalahan ibadah, ianya hanya terbatas (terhenti) berdasarkan dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas (analogi) atau pendapat-pendapat (pemikiran) tertentu.”

Lihat: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’anil Azhim, 7/465. Juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana’iz, 1/174.

Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan berkenaan perkataan Ibnu Katsir di atas (katanya):

وما ذكره ابن كثير عن الشافعي رحمه الله تعالى هو قول أكثر العلماء وجماعة من، الحنفية كما نقله الزبيدي في (شرح الاحياء) 10 / 369

Terjemahan: Apa yang disebutkan oleh Ibnu Katsir dari asy-Syafi’e rahimahullah tersebut adalah merupakan pendapat majoriti ulama dan sekelompok pengikut mazhab Hanafi, sebagaimana yang dinukilkan oleh az-Zubaidi di dalam Kitab Syarah al-Ahyaa’, 9/369. (Lihat: Syaikh al-Albani, Ahkamul Jana’iz, 1/174)

Perkataan Imam asy-Syafi’e rahimahullah:

فأعلم رسول الله مثل ما أعلم الله من أن جناية كل امرئ عليه كما عمله له لا لغيره ولا عليه

Terjemahan: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberitahu sebagaimana yang diberitahu oleh Allah, bahawasanya dosa setiap orang adalah untuk kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana amalannya yang juga buat dirinya sendiri dan bukan untuk kecelakaan orang lain.

Lihat: Ikhtilaful Hadis, 1/538, (باب استقبال القبلة للغائط والبول), Maktabah Syamilah.

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata:

وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعى أنه لا يصل ثوابها إلى الميت وقال بعض أصحابه يصل ثوابها إلى الميت

Terjemahan: “Ada pun berkenaan bacaan al-Qur’an maka yang masyhur di kalangan mazhab asy-Syafi’e bahawa tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada orang yang telah mati dan sebahagian sahabat berpendapat sampai pahala bacaan kepada si Mati.”

Kemudian beliau menjelaskan lagi:

وكل هذه المذاهب ضعيفة ودليلهم القياس على الدعاء والصدقة والحج فانها تصل بالاجماع ودليل الشافعى وموافقيه قول الله تعالى وأن ليس للانسان الا ما سعى وقول النبى صلى الله عليه و سلم اذا مات بن آدم انقطع عمله الا من ثلاث صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له

Terjemahan: “Dan semua mazhab-mazhab tersebut (yang membolehkan menghadiahkan pahala kepada orang mati – Penulis) adalah jelas lemahnya, dan dalil yang mereka gunakan untuk membolehkan (amalan sedekah pahala kepada si mati) hanyalah qias yang diqiaskan dengan doa, sedekah dan haji. Maka sesungguhnya ianya tidak sampai secara ijmak (kesepakatan ulama). Dan dalil asy-Syafi’e serta mereka yang mengikutinya adalah (ayat al-Qur’an): (Sesungguhnya tidaklah ada yang diperolehi oleh setiap manusia, kecuali apa yang telah diusahakan). “Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): 1 – Sedekah jariah, 2 – ilmu yang bermanfaat dan 3 – anak yang soleh yang mendoakannya”.”

Lihat: Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim, 1/90.

Di dalam kitab yang sama, beliau meletakkan sebuab bab bernama:

باب وصول ثواب الصدقة عن الميت إليه

Terjemahan: Bab Sampaikah Kepada Mayat (pahala) Sedekah Yang Diberikan Atas Namanya.

Kemudian beliau menjelaskan:

والمشهور في مذهبنا أن قراءة القرآن لا يصله

Terjemahan: Dan yang masyhur di dalam mazhab kami (Mazhab asy-Syafi’e) adalah pahala bacaan al-Qur’an itu tidak sampai pahalanya (kepada si mati).

Lihat: Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim, 7/89-90.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah berkata:

الْمَيِّتُ لَا يُقْرَأُ عليه مَبْنِيٌّ على ما أَطْلَقَهُ الْمُتَقَدِّمُونَ من أَنَّ الْقِرَاءَةَ لَا تَصِلُ إلَى الْمَيِّتِ لِأَنَّ ثَوَابَهَا لِلْقَارِئِ وَالثَّوَابُ الْمُتَرَتِّبُ على عَمَلٍ لَا يُنْقَلُ عن عَامِلِ ذلك الْعَمَلِ قال تَعَالَى وَأَنْ ليس لِلْإِنْسَانِ إلَّا ما سَعَى وَوُصُولُ الدُّعَاءِ وَالصَّدَقَةِ وَرَدَ بِهِمَا النَّصُّ فَلَا يُقَاسُ عَلَيْهِمَا إذْ لَا مَجَالَ لِلْقِيَاسِ في ذلك فَاتَّجَهَ قَوْلُهُمْ أَنَّ الْمَيِّتَ

Terjemahan: “Mayat tidak boleh dibacakan al-Qur’an ke atasnya sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa bacaan al-Qur’an pahalanya tidak sampai kepada si Mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si Pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh dipindah-pindahkan dari si pembuat berdasarkan firman Allah Ta’ala: Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang mereka telah usahakannya sendiri.”

Lihat: Ibnu Hajar al-Haitami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, 2/26.

Al-Hafiz Ibnu Katsir di dalam Tafsirnya sekali lagi:

كما لا يحمل عليه وزر غيره، كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه

Terjemahan: Sebagaimana tidak dipertanggungjawabkan dosa orang lain, begitulah juga seseorang itu tidak mendapat ganjaran melainkan apa yang telah dia kerjakan (usahakan) sendiri.

Lihat: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’anil Adzim, 7/465.

Juga:

أن النفوس إنما تجازى بأعمالها إن خيرًا فخير، وإن شرًا فشر، وأنه لا يحمل من خطيئة أحد على أحد

Terjemahan: Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan berdasarkan amalnya, jika baik, maka baiklah balasannya dan jika buruk, maka buruklah balasannya dan bahawasanya seseorang itu tidaklah menanggung dosa bagi seseorang yang lain.

Lihat: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’anil Adzim,3/384.

Click here to read more.. »

Share on Facebook
Posted on January 18th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Bahana Video Lucah : Drebar ‘syok’ ragut 2 nyawa

No Comments »

Bahana Video Lucah : Drebar ‘syok’ ragut 2 nyawa

JOHOR BAHRU: Keasyikan seorang pemandu lori pasir menonton cakera padat video (VCD) lucah pada skrin mini kenderaannya ketika memandu dikatakan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan lain dan mengorbankan sepasang suami isteri di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan ke Singapura sebelum kecuaian pemandunya menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori lain, dua kereta serta dua motosikal, termasuk motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang maut itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam manakala usaha mengeluarkan mayat pasangan suami isteri terbabit dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suami isteri yang terbunuh itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan mereka mati di tempat kejadian manakala seorang penunggang motosikal lain parah.

Menurutnya, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai K Vijaya, 34, dan isterinya, S Hemalatha, 27, dari Bukit Indah, di sini, manakala mangsa yang parah, lelaki berusia 32 tahun belum dikenal pasti identitinya dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Lori pasir yang dipandu lelaki itu mempunyai skrin mini LCD dan kita sedang menyiasat dakwaan dia memandu sambil menonton VCD lucah. Kami sedang mengesan VCD lucah yang didakwa berada dalam lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Ruslan, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Muruandy, 54, berkata, kejadian yang menimpa Vijaya dan menantunya adalah tragedi buruk bagi keluarganya kerana kedua-duanya maut sekelip mata.

“Setiap hari mereka ke tempat kerja dengan menaiki motosikal dan saya tidak menyangka rutin harian itu menjadi tragedi. Saya sedih mengenangkan nasib tiga cucu yang masih kecil, berusia bawah 12 tahun,” katanya

Sumber :- http://www.hmetro.com.my

Share on Facebook
Posted on January 18th 2012 in My Artikel, My Malaysia

Isu Chinatown : Bebaskan ‘Chinatown’ dari pekerja asing – Datuk Bandar Kuala Lumpur

No Comments »

Bebaskan ‘Chinatown’ dari pekerja asing: Datuk Bandar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhasrat mengekal dan memulihara kawasan perniagaan Jalan Petaling untuk menjadikannya destinasi pelancongan yang lebih menarik di negara ini.

petaling street 100806Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata Jalan Petaling, yang menempatkan kira-kira 300 gerai, menjadi tumpuan ramai berikutan keunikan dan tradisinya yang dipelopori masyarakat Tionghua sehingga dikenali sebagai ‘Chinatown’.

“Sekiranya gerai sekitar Jalan Petaling ini didominasi peniaga dan pekerja asing, Jalan Petaling tidak lagi mempunyai keistimewaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan mesra ke kawasan itu semalam.

Justeru, beliau meminta peniaga di Jalan Petaling agar tidak mengambil pekerja asing demi memelihara nilai dan tradisi di kawasan itu.

Mengenai kebimbangan peniaga berhubung pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di kawasan itu, Ahmad Fuad meminta mereka melihat projek tersebut dari sudut positif, termasuk keupayaannya menjana pulangan lumayan untuk mereka berikutan peningkatan pengunjung ke situ.

petaling street traders 140306Projek itu, yang dilaksanakan MRT Corporation, meliputi kawasan Jalan Sultan di ‘Chinatown’ sebagai sebahagian daripada MRT Sungai Buloh-Kajang.

Sementara itu, dalam tinjauan mesra tahunan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah Persekutuan, Ahmad Fuad mengambil kesempatan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.

Beliau berkata DBKL memasang 11,000 tanglung di sekitar Kuala Lumpur termasuk 460 di Jalan Petaling.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh membeli bendera Wilayah Persekutuan di kaunter bayaran DBKL pada harga RM8.

Sumber :- http://www.malaysiakini.com

Share on Facebook
Posted on January 17th 2012 in My Artikel, My Malaysia

Isu Rasuah : Pemain Bola Perlis Disoal SPRM Januari 2012

No Comments »

Isu Rasuah : Pemain Bola Perlis Disoal SPRM Januari 2012

LIGA M musim ini baru memasuki tiga perlawanan tapi gejala rasuah sudah dikesan menyelinap dalam dunia bola sepak tempatan apabila seorang pemain Perlis dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menjual perlawanan membabitkan pasukan negeri itu.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memberitahu pemain muda berusia 20-an, ditawarkan kontrak beraksi bagi musim ini, dipanggil memberikan keterangan Sabtu lalu, selepas didakwa mempunyai maklumat mengenai perlawanan yang menyaksikan skuad Singa Utara tumpas 2-7 kepada Majlis Perbandaran (MP) Muar dalam saingan pertama Liga Perdana, Isnin lalu.

Dipercayai, setakat ini, hanya pemain itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan sekali gus menjadi pemain pertama dikaitkan dengan dakwaan rasuah untuk musim ini.

“Pemain itu kemudian dibenar pulang pada hari sama selepas selesai memberi keterangan dan tidak ditahan SPRM,” kata sumber itu yang enggan dinamakan sambil memberitahu pengurusan PFA memang tidak menafikan kemungkinan wujudnya elemen negatif itu.

Penolong Pengurus, Hamunir Hamzah bagaimanapun berkata, setakat ini pengurusan pasukan negeri tidak mempunyai cukup bukti untuk menuduh atau mengaitkan mana-mana pihak dengan kewujudan gejala negatif yang menyaksikan kekalahan ‘memalukan’ skuad Singa Utara itu.

Sumber :- http://www.hmetro.com.my

Share on Facebook
Posted on January 17th 2012 in My Artikel, My Perlis

Kesihatan : Kesan Awal Kanser Usus – Usah Abai Buang Air Besar

No Comments »

Kesihatan : Kesan Awal Kanser Usus – Usah Abai Buang Air Besar

JIKA di kawasan perumahan anda ada tertampal poster yang mengajak menjalani saringan kanser usus secara percuma, janganlah memandangnya sebelah mata. Ia adalah peluang baik untuk membawa ibu bapa yang sudah berumur menjalani pemeriksaan awal tanpa perlu bersusah payah ke hospital.

Meskipun kanser usus lebih kerap berlaku pada warga senior (berumur 50 tahun ke atas) kaum Cina, tidak bermakna kita yang berbangsa lain terlepas daripada kemungkinan menghidap penyakit ini kerana serangan kanser tidak me�ngenal batasan keturunan dan kedudukan.

Anda tidak perlu risau menyertai program saringan kanser usus atau kolon anjuran Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Empowered! kerana ia dikendalikan doktor pakar dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakita�ngan perubatan. Malah anda juga tidak perlu beratur panjang di hospital kerana kumpulan sukarelawan ini yang akan datang ke kawasan perumahan terpilih untuk memberikan perkhidmatan mereka secara percuma.

Menurut Presiden dan Pengasas Empowered!, Dr Christina Ng, saringan ini diadakan khas untuk golongan berpendapatan rendah supaya jika ada kanser bahaya ini dapat dikesan awal. Semua orang tahu rawatan untuk kanser bukan murah, justeru lebih baik jika ia dapat dikesan awal kerana rawatannya akan lebih mudah (dan pastinya agak murah).

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.

Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.

Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

Tanda-tanda

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

# Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.

# Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.

# Najis bercampur dengan darah.

# Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).

# Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).

# Perut rasa memulas.

# Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).

# Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).

# Muntah.

# Hilang selera makan.

# Berat badan turun tanpa sebab.

# Kerap penat.

# Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.

Faktor risiko

Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:

# Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.

# Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.

# Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.

# Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.

# Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.

# Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.

# Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.

# Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.

# Kurang bersenam.


Saringan dan pengesanan

Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap ‘pembawa maut’, ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

Click here to read more.. »

Related Posts with ThumbnailsShare on Facebook
Posted on January 16th 2012 in My Artikel, My Info