My Video : Khutbah Jumaat – Bahaya Ideologi Barat By Ustaz Fathul Bari

No Comments »

Kuliah: Khutbah Jumaat: Bahaya Ideologi Barat Diterapkan Ke Dalam Pemikiran Umat Islam
Lokasi:……
Tarikh: 24/02/2012
Penyampai: Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Semoga bermanfaat..

Sumber :=- http://www.youtube.com/watch?v=REYh5KPcFGc&feature=youtu.be

Share on Facebook
Posted on February 25th 2012 in My Sunnah, My Tazkirah, My Video

INFO : GARIS PANDUAN PENGUMUMAN DAN IKLAN DI MASJID DI PERLIS

No Comments »

INFO : GARIS PANDUAN PENGUMUMAN DAN IKLAN DI MASJID DI PERLIS

A. PENGUMUMAN DAN IKLAN DI DALAM MASJID

i. Pengumuman dan iklan yang menzahirkan kepentingan peribadi seperti mencari barang hilang adalah DILARANG kerana adanya hadis yang menegah perbuatan tersebut.

ii. Pengumuman dan iklan yang berkaitan perniagaan seperti pakej haji dan umrah, pakej aqiqah adalah DILARANG kerana adanya hadis yang menegah perbuatan tersebut.

iii. Pengumuman dan iklan berkaitan perkara ketaatan yang disyariatkan seperti pengumuman solat Hari Raya, solat jenazah, majlis berbuka puasa dan lain-lain yang berunsurkan keagamaan adalah DIBENARKAN.

B. PENGUMUMAN DAN IKLAN DI LUAR MASJID

iv. Papan kenyataan dan papan iklan elektronik hendaklah diletakkan di bahagian luar masjid dan seelok-eloknya di kiri dan kanan pintu masuk masjid untuk memudahkan pengumuman itu dilihat.

v. Semua pengumuman dan iklan bertulis seperti pengumuman barang-barang yang hilang di kawasan masjid, majlis perkahwinan, pakej haji dan umrah, pakej aqiqah dan pakej ibadat korban yang bertujuan perniagaan adalah DIBENARKAN.

C.PENGUMUMAN DAN IKLAN DI PAGAR MASJID

vi. Pengumuman dan iklan berunsurkan program-program keagamaan yang disyariatkan seperti pengumuman Qiyam Ramadan berjemaah, pengumuman majlis berbuka puasa, kelas kursus haji dan umrah adalah DIBENARKAN.

vii. Sebarang pengumuman dan iklan bergambar yang tidak bersesuaian adalah DILARANG.

viii. Pengumuman dan iklan yang dibuat hendaklah tidak menimbulkan perpecahan di antara umat Islam serta mengelirukan sesetengah pihak.

KEPUTUSAN INI TELAH DIPERAKUKAN OLEH MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS DALAM MESYUARAT BILANGAN 6/2011 PADA 9 DISEMBER 2011 BERSAMAAN 13 MUHARAM 1432H. KEPUTUSAN INI JUGA TELAH DISEMBAH MAKLUM KEBAWAH DYMM TUANKU RAJA PERLIS

Sumber :- http://mufti.perlis.gov.my

Share on Facebook
Posted on February 24th 2012 in My Artikel, My Info, My Perlis, My Sunnah

Dr Juanda : Merindui Rasulullah SAW

No Comments »

Merindui Rasulullah SAW

Setiap kali peringatan Maulidur Rasul, tiba-tiba hati kita sayu diramas rindu kepada baginda SAW. Emosi semakin memuncak mencari-cari kenangan terindah yang telah ditinggalkannya. Kalaulah kita dapat memiliki jiwa selembut Imam Malik Rahimahullah yang terus menerus mengajarkan kalimah-kalimah peninggalan kekasihnya Muhammad SAW, beliau membacakan hadis-hadis baginda SAW kepada murid-muridnya sambil menitiskan air mata menanggung kerinduan, membela ajarannya dengan sepenuh jiwa dan raga. Kekuatan rindu itu telah mengalahkan kesakitan yang beliau deritai ketika seekor kala menyengat sebelah kaki beliau. Imam Malik Rahimahullah tidak berganjak dari majlisnya dan masih meneruskan pelajaran hadis yang sedang dibaca. Seorang anak muridnya bertanya kepada beliau mengapa tidak memberhentikan pengajian sementara beliau mengambil ubat. Imam Malik berkata: “Apakah begitu yang disebut kerinduan kepada Rasulullah SAW?”

Betapa hebatnya pengaruh hadis Rasulullah SAW kepada hati seorang mukmin. Apabila kita mendengar sebuah hadis dibacakan ataupun sekiranya kita adalah seorang yang sedang mengajarkan hadis, pernahkah kita merasai bahawa keadaan ini adalah sedekat-dekatnya kita kepada baginda SAW?

Alangkah bahagianya jika kita juga memiliki jiwa seperti Muaz bin Jabal RA. Jiwa beliau amat dekat dan rapat dengan Rasulullah SAW. Beliau memiliki kulit yang sentiasa bersentuhan dengan kulit Rasulullah SAW, tangan beliau pernah dipimpin oleh Baginda SAW, wajah beliau ditumpahi kasih dan sayang seorang Nabi SAW. Saat beliau diutus ke negeri Yaman sebagai pendakwah yang mengajarkan agama Islam di sana, Baginda Rasulullah SAW mengusap air matanya sambil bersabda yang bermaksud: ”Mengapa engkau menangis wahai Muaz? Jawab Muaz: Hamba sedih berpisah denganmu wahai Rasulullah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan sedih wahai Muaz, sesungguhnya kesedihan itu sebahagian daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Iringilah keburukan itu dengan kebaikan nescaya keburukan itu dihapus oleh kebaikan dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Betapa beruntungnya memiliki ketaatan kepada Rasulullah SAW sepertimana taatnya sahabat, Hakim bin Hizam. Beliau adalah seorang yang baru memeluk Islam, hidup pada zaman Islam telah memperoleh kekayaan yang melimpah kerana ghanimah yang didapat dalam peperangan. Suatu hari selepas perang Hunain, Hakim menghadap Rasulullah SAW untuk meminta harta rampasan perang. Dia berkata: ”Wahai Rasulullah berilah aku sesuatu!” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Apakah kamu melihat seluruh kambing yang berada di lembah itu? Sesungguhnya itu semua adalah milik kamu. Kemudian dia datang lagi dan meminta kepada baginda untuk kali kedua. Rasulullah SAW telah memberinya 100 ekor unta. Hingga kali ketiga dia datang dan meminta. Rasulullah SAW juga memberinya 100 ekor unta lagi. Tak puas dengan itu semua Hakim mencuba meminta kepada Baginda SAW sekali lagi. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini umpama rerumputan yang hijau, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.” Hakim berasa malu dan berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, demi Allah aku tidak akan meminta lagi kepada sesiapapun selepas ini dan aku tidak akan menerima pemberian sesiapa lagi.”

Janji dan ketaatan Hakim kepada Rasul SAW tetap digenggam hingga ke akhir hayatnya. Beliau tidak pernah meminta dan tidak mahu menerima pemberian orang selepas kejadian itu. Begitulah kehebatan didikan sang Rasul yang hanya meninggalkan ilmu dan agama ini kepada umatnya. Walaupun harta dan dunia berada di tangannya, musuh-musuh menyerah diri di bawah kekuasaannya. Namun begitu Baginda makan di atas tanah bersama para hamba. Menangis pada malam yang gelap ketika mendengar seorang wanita tua membaca ayat tentang hari kiamat. Baginda amat menyukai sujud, meletakkan wajah di atas tanah kerana mahukan Allah Taala sentiasa berada dekat bersamanya.

Hati siapa tak terbius oleh sirahnya yang harum, mengingati keistimewaan peribadi seorang insan yang bernama Muhammad SAW. Tak kira hati itu milik siapa, mukmin atau munafikin bahkan kafir laknatullah juga tersentuh oleh keagungan Baginda SAW. Goldzhiher, seorang orientalis terkenal menyatakan: “Tidaklah menghairankan jika Muhammad menjadi seorang Nabi, kerana Isa dan Musa juga Nabi. Sesungguhnya yang menghairankan adalah beliau menetap selama 40 tahun di Mekah tanpa belajar sama sekali di sekolah atau berguru dengan seorang guru. Kemudian setelah 40 tahun, beliau tiba-tiba berubah menjadi seorang pemberi fatwa terhebat, pensyarah ternama di mimbarnya, orang yang paling petah bercakap, pemimpin serta pendidik teragung di dunia ini. Inilah yang paling menghairankan tentang Muhammad.”

Ketika ini, masih adakah kebanggaan yang tersisa sebagai umat Muhammad SAW? Jika anak-anak kita malu berimejkan Islam dan belajar sembahyang? Jika agama ini dipisahkan daripada kehidupan dunia. Kita semakin asyik melayan kehendak diri tanpa menimbang inikah jalan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW? Sementara orang yang mengaku kuat beragama pula tertipu oleh ilmunya dan menjauhkan diri daripada perjuangan sebenar membela Islam. Cukupkah cinta ini tanpa berbuat sesuatu yang membuktikan ia adalah cinta sebenar? Betapa pentingnya pembuktian kerana cinta ini bukan khayalan semata.

Abu Musa al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: Bagaimana jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya di akhirat.

Wahai Rasulullah layakkah hamba berdampingan denganmu? Soalan sebegini sepatutnya sering berlegar-legar di ruang minda kita setiap masa. Jangan ditunggu sekali setahun untuk menyatakan kasih kepada Baginda SAW. Takut terlepas pula sayang Rasul SAW kepada kita.

Sungguh beruntung Sawwad bin Ghazwah yang ketika nyawanya hendak berlepas dari badan saat peperangan Badar, Rasulullah SAW datang memeluk tubuhnya. Sungguh tiada kenikmatan yang melebihi nikmatnya bersentuhan dengan Rasulullah SAW. Tiada ubat penawar yang dapat menyembuhkan selain usapan tangan Baginda SAW ke atas luka-luka yang menganga. Rasulullah SAW memujuk: Mengapa kamu menangis wahai Sawwad? Tiada kalimah lain yang paling bermakna untuk menyatakan cinta sejati kepada Muhammad SAW selain jawapan: “Wahai Rasulullah, telah datang apa yang engkau lihat , kerana itu aku ingin menyentuh kulitmu dengan kulitku sebagai akhir perjanjian denganmu.” Sebuah janji kepada Rasulullah SAW untuk sehidup dan semati tetap mencintai. Alangkah bahagianya hidup ini seandainya kita memiliki impian seperti seorang yang bernama Sawwad.

Sumber :- DrJuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 23rd 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Dr Juanda : Bencana Jika Abaikan Kehangatan Seksual

No Comments »

Bencana Jika Abaikan Kehangatan Seksual

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Seorang isteri yang normal dan sihat pasti mengharapkan suami pandai memuaskan nafsu syahwatnya, begitu pula suami. Betulkah kebahagiaan setiap pasangan bergantung kepada kualiti kepanasan di atas ranjang? Tentu saja ya! Kerana pemuasan nafsu syahwat melahirkan ketenangan jiwa bagi suami dan isteri. Ia adalah suatu keperluan asas bagi setiap pasangan. Sesiapa yang tidak mementingkan perkara ini, maka dia terdedah kepada bahaya kehancuran rumahtangga.

Saidina Umar al-Khattab Radiallahu ’anhu pernah mendengar keluhan seorang wanita di tengah malam yang merintih sambil menangis merindui suaminya yang bertugas sebagai tentera Islam di wilayah perbatasan negara. Wanita itu berkata seorang diri: ”Jika hamba tidak takutkan-Mu ya Allah, ranjang ini pasti akan bergoyang.”

Selepas peristiwa itu Khalifah memutuskan agar para tentera yang bertugas jauh dari keluarganya diarahkan pulang ketika itu juga dan digantikan tugas mereka itu oleh tentera yang baru secara bergilir. Sesunguhnya Umar RA melihat peristiwa itu sebagai ancaman rumahtangga yang seterusnya boleh membawa kepada kehancuran umat.

Biasanya isteri cepat naik angin bila kurang sentuhan suami, namun mereka kurang peka tentang keperluan rangsangan yang harus diberi kepada suami. Sebenarnya seorang isteri tidak selamanya harus menerima sahaja dan menunggu suami ’buat’, bahkan dia seharusnya turut berperanan menghangatkan keadaan. Menurut kajian, suami dan isteri yang gembira, saling bernafsu dan puas dalam hubungan seks akan menghasilkan janin yang sihat dan cerdas berbanding dengan mereka yang melakukannya setengah hati sahaja.

Ada pula suami yang enggan memenuhi tanggungjawab seks disebabkan sakit. Isteri cukup merana menghadapi keadaan sedemikian dan suami tidak boleh menahan hajat isteri untuk menceraikannya dengan cara baik. Tetapi ini pula cerita suami yang mahu menyiksa isterinya dengan cara membiarkannya tanpa disentuh. Dengan alasan mengalami stress akibat tekanan kerja dan persekitaran. Sesungguhnya suami sebegini telah melanggar perintah Allah SWT supaya memberi nafkah seks kepada isterinya. Punca perilaku suami yang tidak bertanggungjawab ini mesti diteliti. Kebanyakan mereka mempunyai alasan untuk menjauhkan diri dari isteri. Seeloknya sang isteri pula muhasabah diri, apakah sebenarnya punca masalah mereka?

1. Imej dan disiplin isteri.
Pernahkan anda melihat di manakah perbezaan antara orang gaji dan seorang surirumah. Jika anda tidak menyerupai penampilan orang gaji anda maka anda telah berjaya merangsang mata dan hati suami. Orang lelaki berbangsa Melayu jarang yang berterus terang kepada isteri dalam soal penampilan. Isteri naik berat badan dia tak kisah, tak berbedak pun tak kisah, asalkan berbudi bahasa. Kerana kita diajar untuk menjaga hati orang lain dengan cara menyembunyikan kebenaran, jangan bising dan tak payah nak gaduh-gaduh, baik diam jangan berterus terang. Kebiasaan tidak mahu berterus terang akhirnya menyebabkan isteri tidak berdisiplin dalam melayan suami. Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti mahupun kuantiti hubungan seksual di antara mereka. Kalau dah berserabut dan bersepah di sana sini, mana ada mood nak bermesra?

2. Pengalaman seks menyebabkan suami tertekan.

Suami cepat sampai daripada isteri, masalah ini perlu dibincangkan dengan keikhlasan kedua pasangan. Seelok-eloknya isteri pandai memujuk suami supaya tidak timbul salah faham dan kebencian di antara mereka. Suami pula harus berbesar hati dan berani menghadapi kenyataan. Isteri perlu menyediakan pemakanan yang berkhasiat, mengajak suami melakukan aktiviti kecergasan badan dan mungkin pergi berjumpa doktor bersama suami jika dirasakan perlu. Isteri juga sentiasa memberikan dorongan dan sokongan agar suami cepat pulih, bukan mendiamkan diri seraya memendam perasaan yang berakhir dengan perbuatan maksiat.

Adakalanya masalah pula datang dari pihak isteri apabila suami rasa tidak selesa kerana kurang rasa cengkaman dan otot-otot vagina yang telah kendur. Keputihan dan bau kurang sedap juga amat mengganggu. Senaman dan ubat-ubatan diperlukan untuk memastikan anda bebas dari masalah gangguan ketika bersama suami.

3. Honeymoon kali kedua.
Sediakanlah masa untuk anda dan suami bersama. Duduk berdua menikmati keindahan alam, pergi bersiar-siar sambil membincangkan masa depan bersama-sama. Saling bertukar-tukar idea dan pandangan tentang kelebihan dan kelemahan masing-masing. Yang paling penting merasai kehangatan hubungan seksual tanpa gangguan dan paksaan. Apabila ada masalah dengan suami, pastikanlah langkah-langkah yang diambil tidak memudaratkan rumahtangga anda, apatah lagi anak-anak. Untuk itu anda memerlukan tempat dan waktu yang sesuai bersama suami, hanya berdua. Iklim perkahwinan tak selamanya hangat tetapi usaha untuk mengekalkan kehangatan itu seharusnya menjadi prioriti yang mesti difikirkan bersama.

Sumber : Drjuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 21st 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Forum Mencintai Sahabat Nabi SAW

No Comments »

Forum Mencintai Sahabat Nabi SAW

Tarikh : 19 Februari 2012 (Ahad)
Tempat : Masjid Bohor Temak Kangar Perlis
Ahli Panel :
1. Dato Dr Mohd Radzi Othman
2. Dato Dr Johari Mat
3. Ustaz Mohd Abdul Kadir (moderator)

Share on Facebook
Posted on February 18th 2012 in My Event, My Kuliah, My Perlis, My Sunnah

Dr Juanda : Zuhud Bukan Bermaksud Membenci Dunia

No Comments »

Zuhud Bukan Bermaksud Membenci Dunia

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Suatu hari Abdullah bin Abbas RA memakai pakaian yang paling indah dan mahal berharga 10.000 dirham. Beliau bermaksud mengadakan dialog dengan kaum Khawarij yang memberontak. Orang-orang Khawarij adalah golongan yang kuat beribadat tetapi mengenepikan ilmu dan tidak mahu mempelajari al-Quran, Fiqh dan Hadis. Mereka terkenal sebagai kaum yang degil, berpuak-puak dan membenci sesiapa saja yang tidak sefahaman dengan mereka.

Abdullah bin Abbas RA mandi dan memakai wangian yang paling harum, menyikat rambutnya dan mengenakan pakaian yang paling indah dan bersih. Beliau akan berhadapan dengan orang-orang degil yang memakai baju bertampal-tampal, muka yang berdebu dan kusut masai. Mereka berkata: “Kamu adalah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Mengapa kamu memakai pakaian seperti ini? Abdullah bin Abbas RA menjawab: “Apakah kalian lebih tahu tentang Rasulullah SAW berbanding saya?” Mereka berkata: “Tentulah kamu yang lebih tahu.” Abdullah berkata lagi: “Demi Allah yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berpakaian dengan mengenakan perhiasan yang berwarna merah dan itu adalah sebaik-baik perhiasan.”

Aisyah RA pada suatu ketika melihat sekumpulan pemuda yang berjalan dalam keadaan sangat lemah, pucat dan kelihatan malas. Beliau bertanya: “Siapakah mereka itu?” Para sahabat menjawab: “Mereka itu adalah kumpulan ahli ibadat.” Kemudian Aisyah RA berkata: “Demi Allah, yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya Umar bin al-Khattab RA adalah orang yang lebih bertakwa dan lebih takut kepada Allah SWT berbanding mereka itu. Kalau beliau berjalan, beliau berjalan dengan cepat dan tangkas. Apabila bercakap, beliau dalam keadaan berwibawa, jelas kedengaran percakapannya dan apabila beliau memukul, pukulannya terasa sakit.”

Hal ini semua berlaku adalah akibat memahami ilmu secara kurang menyeluruh, memberatkan hal ibadat yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan dan menyusahkan diri. Begitulah keadaan sebahagian umat Islam yang lupa kepada wasiat Rasulullah SAW yang telah disampaikan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal RA ketika beliau dikirim menjadi Duta dakwah ke negeri Yaman. Kata baginda yang maksudnya: “Wahai Muaz, mudahkanlah setiap urusan, jangan memberat-beratkannya.”

Apakah agama Islam mengajar untuk membenci dunia? Kalau begitu, mengapa Abu Bakar al-Siddiq boleh berbangga dengan harta kekayaannya untuk membela agama Allah? Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin ‘Affan yang mengeluarkan perbelanjaan membiayai gerombolan tentera Allah dengan wang dari poket mereka sendiri. Adakah Rasulullah SAW melarang mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan duniawi?

Bahkan di dalam Al-Quran Allah SWT menegaskan bagi sesiapa yang menolong agama Allah mereka wajib mempunyai bekalan. Firman-Nya yang bermaksud: ”Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh-musuhmu.” Surah al-Anfal: Ayat 60

Bagaimanakah Islam akan menang jika umatnya adalah mereka yang berada dalam skala Negara Dunia Ketiga? Negara miskin dan terkebelakang serta dikuasai oleh musuh-musuhnya. Apabila mereka hendak membeli makanan, mereka terpaksa meminta belas ihsan orang kafir. Apakah zuhud itu bererti membiarkan dunia dimiliki dan dikuasai oleh musuh Allah? Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: ”Apabila emas seberat gunung diamanahkan kepadaku, aku tidak akan tidur selagi ia tidak habis dimanfaatkan untuk umat Islam.”

Sebagai panduan bersama, ingatlah pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah. Beliau berkata: ”Zuhud itu adalah kamu meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah untuk akhiratmu.”

Harta yang halal hendaklah dipastikan dikeluarkan pada tempat-tempat yang halal. Jangan mencari di lubuk yang halal sahaja tetapi membelanjakannya pada jalan maksiat. Atau kebalikannya, mengambil dari sarang penyamun dan membelanjakannya untuk ibadat. Itu semua bertentangan dengan perintah Allah SWT. Orang beriman percaya harta adalah titipan dan amanah Allah, pinjaman sementara dan bila-bila sahaja Dia mahukannya, akan lenyaplah ia dari tangan kita. Cukuplah ia berada dalam genggaman tangan, jangan masuk menguasai hati nurani.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya tentang seorang lelaki yang memiliki harta kekayaan sebanyak 100,000 dinar wang emas. Bolehkan dia dikatakan sebagai seorang yang zahid? Beliau menjawab: ”Lelaki itu dikatakan zuhud apabila ada dua sifat:
1. Tidak terlalu bergembira ketika hartanya bertambah.
2. Tidak terlalu berdukacita apabila hartanya berkurangan.”

Nikmatilah dunia dan segala kesenangannya tetapi pastikan harta yang dimiliki tidak menahan langkah di akhirat kelak dan melambatkan perjalanan ke pintu syurga. Kerana semakin banyak harta, maka pasti semakin rumit hisab perhitungan yang dilakukan, kecuali harta yang halal yang dibelanjakan untuk keredaan Allah. Jika Bahagian Pencegah Rasuah (BPR) datang menyiasat harta dan ia adalah suatu yang menggerunkan, maka bagaimana dengan penyiasatan mahkamah Allah nanti, yang pasti memiliki segala bukti?

Sumber :- DrJuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 16th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Dr Juanda : Kerana Cinta Segala Dikorbankan

No Comments »

Kerana Cinta Segala Dikorbankan

Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis)

Jika perasaan cinta telah menguasai diri kita, yang pahit terasa manis, kesusahan jadi kesenangan, kemiskinan dihadapi dengan keberanian, cabaran dilalui dengan gembira dan kekayaan pula dipertaruhkan demi mendapatkan keredaan sang kekasih. Harta, jiwa dan raga menjadi murah, semuanya dipersembahkan untuk satu kalimah cinta yang agung. Antara kita dengan Yang Maha Mencinta, Allah Al-Rafiq Al-A’la.

Disebabkan cinta, sejarah telah merakamkan kehidupan anak-anak Adam yang mulia. Allah SWT menzahirkan perasaan cinta mereka kepada-Nya dengan kesan-kesan peninggalan dan perjuangan yang terhebat sepanjang zaman.

Suatu hari di medan peperangan Uhud, Abdullah bin Jahsy RA berkata kepada sahabatnya Saad bin Abi Waqqash: ”Wahai sahabatku, mari kita berdoa kepada Allah kerana apabila seorang hamba memohon suatu hajat dan sahabatnya mengaminkan permohonan itu, nescaya Allah SWT akan memperkenankan hajatnya itu.”

Kedua-duanya berdoa, Saad berdoa di sisi Abdullah: ”Ya Allah, saat aku berada di medan pertempuran esok dengan rahmat-Mu ya Allah, biarkanlah musuh menyerang dengan ganas, biarlah kekuatannya mencabar diriku, namun aku akan melawannya dengan segenap tenaga, tolonglah aku memperoleh kemenangan dengan membunuhnya kerana-Mu ya Allah, biarkanlah aku memperoleh harta rampasannya dengan limpah kurnia dari-Mu.”

Setelah Abdullah mengaminkan doa sahabatnya itu, beliau pula berdoa: “Ya Allah, biarkanlah aku menemui musuh-musuhku dari kalangan mereka yang gagah dan mereka menyerangku dengan kemarahan yang amat membara. Biarlah kuperangi mereka dengan kekuatanku, jika mereka berhasil membunuhku, aku reda ya Allah, biarlah mereka menghiris telinga dan hidungku kerana di hari kiamat nanti Engkau akan memanggilku dan bertanya kepadaku: Wahai Abdullah! Mengapa hidung dan telingamu boleh bercerai dari jasadmu? Aku akan menjawab di hadapan-Mu: ”Semuanya telah hilang kerana mengharap keredaan dan kecintaan-Mu ya Allah.” Kemudian Engkau akan berkata: ”Benar, tentu semua yang hilang itu adalah di jalan-Ku!”

Pada keesokan harinya, peperangan telah meninggalkan jasad para syahid yang dimuliakan Allah SWT. Saat itu apabila melihat Abdullah telah kembali ke sisi Allah SWT, Saad berkata: ”Doa Abdullah lebih mulia dari doaku, aku melihat hidung dan telinganya diikat dengan benang (kerana ia telah dipisahkan dari badannya).”

Kekuatan cinta kepada Allah SWT boleh merubah pemikiran dan perasaan kita. Orang yang mencintai Allah memiliki perasaan yang tunduk kepada kehendak Allah. Dia marah ketika Allah murka, dia benci kerana Allah benci, dia pun suka dan sayang ketika Allah sayang. Sepertimana Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Barangsiapa yang cinta kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, menahannya kerana Allah, maka dia telah menyempurnakan imannya.” Hadis riwayat Abu Daud.

Tanda cinta kepada Allah ialah taat, patuh, tunduk, rela mengabdi, reda dengan ketentuan-Nya, mengorbankan hati dan perasaan, harta dan jiwa demi mendapatkan keredaan-Nya.

Perjalanan hidup manusia yang mencintai Allah tidak mudah untuk dilalui. Mereka sentiasa menghadapi dugaan untuk memenangi cinta itu, sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Apabila Allah mencintai suatu kaum Dia akan mengujinya.” Hadis riwayat al-Tirmizi.

Kesusahan dan kesedihan adalah suatu kemestian dalam bercinta, namun di akhir perjalanan mesti ada kegembiraan, iaitu ketika Allah membalas cinta hamba-Nya ketika nyawa akan berlepas dari jasad, dengan firman-Nya yang bermaksud: ”Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keredaan lagi diredai.” (Surah al-Fajr).

Saat-saat terakhir kehidupan baginda SAW telah terakam begitu indah, jiwa seorang Rasul telah membuktikan cintanya kepada Allah SWT. Baginda bersabda yang maksudnya: ”’Bersamaku mereka yang telah dilimpahi nikmat Allah dari golongan para Nabi, syuhada dan salihin, wahai Tuhanku, tolonglah hamba dari kepedihan sakarat ini, aku memohon berada di sisi teman yang tertinggi, teman yang tertinggi.”

Al-Rafiq al-A’la itulah sebutan bagi kekasih yang Maha Penyayang, Dialah yang kekal dalam mengasihani makhluknya, rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Tiada suatu haripun melainkan lautan meminta izin kepada Tuhan untuk menenggelamkan anak Adam. Dan malaikat meminta izin untuk segera menghukum dan membinasakannya. Tetapi Allah Taala berfirman: ”Siapakah yang lebih pengasih dan pemurah daripada-Ku, padahal Aku Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Pada malam hari hamba-hamba-Ku menentang-Ku dengan melakukan dosa-dosa besar. Namun Aku menjaga mereka di tempat tidur mereka dan melindungi mereka di ranjang mereka. Siapa yang datang menghadap kepada-Ku, maka Aku telah menyambutnya dari jauh. Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Aku, maka Aku akan memberinya kelebihan. Barangsiapa yang berbuat dengan daya dan kekuatan-Ku maka Aku akan lunakkan besi untuknya. Barangsiapa yang berkehendak sesuai dengan kehendak-Ku, maka Aku berkehendak sesuai dengan kehendaknya. Ahli zikir-Ku adalah teman duduk-Ku. Ahli syukur-Ku adalah orang yang paling berhak mendapatkan tambahan kurnia-ku. Ahli taat-ku adalah orang yang berhak mendapat kemuliaan-Ku. Dan ahli maksiat kepada-Ku tiada Aku jadikan mereka berputus asa dari rahmat-Ku. Jika mereka bertaubat Akulah kekasih mereka. Jika mereka tidak bertaubat Akulah penyembuh bagi mereka, Aku menguji mereka dengan musibah untuk mensucikan mereka dari aib dan dosa.” Hadis Riwayat Ahmad.

Sumber :- DrJuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 15th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

My Sunnah : Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit

No Comments »

My Sunnah : Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit


Buku yang patut anda baca : Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit

Date : 12 Februari 2012
Time : After Maghrib
Place : Kedai Toko Buku Iqra Bangunan Mara Jalan Raja Syed Alwi
Info : 2 hari lepas… omaQ dan famili pi ke kedai buku kat Bangunan Mara Jalan Raja Syed Alwi.. saja pi tukar baucer buku Ummu Fawwaz kat sana.. Alhamdulilah… dapat tukar dengan beberapa buku.. antaranya.. buku yang menarik perhatian omaQ iaitu.. Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit… sebelum omaQ beli buku ini.. omaQ sempat jumpa dengan Penysarah IPGM iaitu EN Dan… dia bagi tau..dia pernah berjumpa dengan seorang Dr dia salah universiti.. Dr India tu memiliki buku tersebut.. dia bagi tau yang isi kandungan buku tersebut menarik dan berguna serta bermanfaat…. kita orang muslim pon tak baca buki ilmiah sebegitu rupa.. orang yang Non Muslim plak ambik pengajaran dari Rasulullah nabi junjungan kita…. MasaAllah.. Mudahan Allah membuka pintu hati hidayah kepada Dr India tersebut untuk mendalami Ilmi Islam dan menjadi Islam hendaknya.. Amin


Fakta yang perlu kita tahu dalam buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit

Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit Buku Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit
Share on Facebook
Posted on February 14th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Dr Juanda : Satu Detik Amat Berharga

No Comments »

Satu Detik Amat Berharga

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Duduk dua jam di depan televisyen tidak terasa jika dibandingkan duduk sebentar membaca dua muka surat Al-Quran. Bukan main berat rasanya hendak menghabiskan ayat-ayat yang tersekat-sekat dilidah. Jika datang waktu sembahyang tiba-tiba datang pula rancangan tv yang diminati. Pembaziran masa sering terjadi pada semua peringkat usia dan latar belakang pekerjaan, dari suri rumah, kanak-kanak dan remaja, para pekerja sampai ke peringkat warga tua. Pernahkah anda merasa bosan pada suatu hari? Semua tugas dan tanggung jawab di pejabat tak selesai dan terpaksa ditunda esok dan esok entah sampai bila. Ada pula seorang suri rumah yang suka memanjakan diri, duduk berjam-jam membelek-belek majalah yang telah berkali-kali dibaca, shopping tanpa ada keperluan yang benar-benar penting, bersembang dengan kawan sampai terlebih masa, akhirnya kerja-kerja mengurus rumah tangga tak dapat diselesaikan apatah lagi hendak mendidik anak-anak. Sementara ada juga di kalangan warga tua yang apabila bersara terus berehat sepanjang masa, makan dan tidur tidak dapat dikawal lagi ditambah dengan gejala kemurungan kerana rindu mengenangkan anak-anak yang jauh akhirnya datang penyakit tiba-tiba. Begitulah kehidupan manusia. Masing-masing memilih diantara dua kenyataan, hidup dengan cara yang positif atau sebaliknya. Menurut teori psikologi Dr. Norman Vincent Peale, pakar pemikiran positif yang terkenal, “Tugas utama manusia bukanlah menanggung kehidupan tetapi mengusai kehidupan.” Ada persamaan orientasi pemikiran antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud, apabila beliau berkata: “Belum pernah aku menyesal, melainkan penyesalanku ketika matahari terbenam, semakin singkat umurku sedangkan amalanku tidak bertambah.” Peribadi seperti ini tidak akan menyerah dengan kehidupan yang dijalani bahkan ia berusaha untuk menguasai kehidupan dengan bersemangat. Orang beriman sentiasa prihatin dengan masa yang berlalu tanpa kerja yang berfaedah untuk dunia dan akhiratnya. Kerana mereka sedar bahawa dunia ini tempat untuk berjuang, disini kita menanam esok di akhirat tinggal menuai. Satu detik yang dihabiskan untuk membaca subhanallah cukup memberatkan timbangan amal salih di akhirat. Dan mungkin kerana satu detik saja yang digunakan untuk maksiat akan menjadi penyesalan diatas timbangan hisab nanti. Sepertimana keadaan orang-orang yang rugi dalam Firman Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka) supaya kami dapat beramal salih, bukan seperti apa yang kami amalkan dahulu.” (Al-fathir: 37)

Pembahagian masa yang efektif dan kesungguhan anda mematuhinya menjadi faktor yang amat penting memperoleh kejayaan dunia dan akhirat. Seorang mukmin yang hidup di zaman moden ini terpaksa bersaing dengan manusia-manusia hamba wang yang mempunyai prinsip ‘time is money’. Alangkah ironisnya jika kemenangan dan kemajuan seringkali berpihak kepada orang-orang kafir sementara kaum muslimin masih dibuai mimpi yang panjang. Kurangnya motivasi tentang budaya ilmu dan menguruskan masa menjadi penyumbang kelemahan umat. DR. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya “al-Waqt fi hayatil muslim” menyatakan keprihatinannya tentang budaya kerja di negeri Mesir dibandingkan dengan rakyat Eropah. Beliau mengungkapkan satu kajian yang dibuat bahawa orang Eropah bekerja tidak kurang 7 jam bahkan lebih setiap hari sedangkan rakyat Mesir bekerja tidak melebihi 30 minit sehari. Mengapa umat Islam rela terhina dengan kemalasan, terlena dengan mimpi panjang yang melemahkan akal. Ketika orang-orang kafir menguasai darat dan laut bahkan sampai menembus cakrawala.

Hendaklah setiap mukmin mengisi masanya dengan tiga aktiviti sebagai berikut:

Merancang Kerja

Setiap hari yang dilalui seorang mukmin adalah simpanan baginya. Kerana waktu sesaat akan menjadi penyumbang pada ‘buku kerja’ yang berada dibawah pemegang kuasa dua malaikat, Raqib dan Atid. Segala kerja baik akan direkodkan tak terkecuali begitu juga dengan kejahatan. Kerja baik merupakan ibadat jika diniatkan kerana mengharap redha Allah. Tugas memakmurkan bumi adalah ibadat yang menjanjikan imbalan. Seorang mukmin sejati tidak boleh duduk diam melihat kemiskinan dan kebodohan melanda umat. Kerana dia dilahirkan untuk menjadi khalifatullah fil Ardh. Bahkan Al-Quran mengajar kita untuk merancang masa depan dan bersungguh-sungguh bekerja agar dapat dilihat hasilnya di akhirat nanti sebagai amal salih yang dibanggakan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Firman Allah SWT: ”Dan katakanlah, Bekerjalah kamu nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan menyaksikan pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata lalu diberitakannya kepada kamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-Taubah: 105)
Kerja yang dilakukan hendaklah memberi manfaat kepada dunia dan akhirat seseorang. Kerana sebenarnya kita bekerja untuk Allah. Hidup ini adalah untuk memastikan eksistensi diri kita berada pada tahap paling mulia, berjaya dan diredhai Allah SWT. Tentu saja semua itu dimiliki bukan dengan cara duduk berangan yang tak sudah-sudah.

Mengurus Diri
Mukmin yang amanah terhadap masa cekap menguruskan dirinya. Jika kita hendak merancang masa dengan efektif maka kebijaksanaan mengenal diri dan mengawalnya adalah kunci kejayaan bagi perancangan yang dibuat. Kenali diri anda dan cuba terokai nilai-nilai positif yang ada padanya dan serlahkanlah untuk kemajuan anda. Demikian juga dengan nilai-nilai negatif agar anda boleh mengawalnya dengan baik. Ilmu mengenal potensi diri mengajar kita sentiasa bermuhasabah apa yang baik dan buruk yang ada pada diri kita untuk menjamin kejayaan. Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam Ihya Ulumuddin mengajar kita mengawal tujuh anggota badan yang zahir iaitu, mata, telinga, mulut, tangan, kaki, perut dan kemaluan agar mereka tunduk kepada nilai-nilai yang positif. Begitu juga perhatian beliau kepada pentingnya membersihkan hati yang merupakan anggota badan yang esensial dan maha hebat pengaruhnya kepada keperibadian seseorang. Pada diri Rasulullah SAW berkumpulnya nilai-nilai teladan terbaik, seorang manusia unggul yang mencerminkan kesempurnaan kerana beliau diasuh langsung oleh Rabbnya. Sebagai mukmin kita diwajibkan mengambil pengajaran daripada syakhsiyah baginda SAW untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Memberi Manfaat Kepada Orang Lain

Hidup kita akan menjadi lebih bererti jika perbuatan yang dilakukan memberi kebahagiaan pada orang lain. Disebabkan kerana seorang surirumah yang bertanggung jawab, berhati mulia, penuh cinta dan kasih sayang kepada suami dan anak-anaknya maka kehadiran dirinya begitu penting untuk memastikan kebahagiaan dan keselamatan keluarga itu berpanjangan. Disebabkan keikhlasan dan dedikasi seorang guru maka masa depan generasi umat ini menjadi begitu cemerlang. Kerana anda pekerja yang amanah, bangsa dan negara ini begitu bergantung pada pertolongan anda menjayakannya. Biarlah hidup ini berjalan dengan potensi setiap orang yang dicurahkan untuk kesejahteraan bersama. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, maka Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun di akhirat. Barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.” (Bukhari Muslim)

Seorang yang membuat perancangan masa adakalanya berputus asa apabila terlepas daripada menepati apa-apa yang sudah dirancang. Jangan bersikap pesimis jika kita gagal, cepat bangkit sambil beristighfar dan berusaha bersungguh-sungguh membayar kecuaian dengan kerja yang berfaedah. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan) kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh urusan yang lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaklah kamu berharap.” (Al-Syarh: 6,7 dan 8)

Sumber :- Drjuanda.com

Share on Facebook
Posted on February 14th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah

Dr Juanda : Menangislah Untuk Melembutkan Hati

No Comments »

Menangislah Untuk Melembutkan Hati

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila dia membaca ayat-ayat Allah, air matanya tak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh. Manakala Saidina Umar RA pula suka mengingatkan dirinya tentang hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah SWT kelak. Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata kepada anaknya Abdullah bin Umar RA: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa. Manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya. Rasulullah SAW suatu ketika datang menjumpai para sahabat yang sedang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa.”

Tangisan rahmat dan tangisan azab


1. Dia tidak tahu qadak dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah ia ke dalamnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Siapakah yang boleh menjamin nama kita adalah termasuk dalam senarai ahli-ahli syurga? Tidakkah hal itu merupakan satu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

2. Menangislah kerana ingat tentang malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggal sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang-orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anak-anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan yang amat penting. Persoalan-persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan. Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan siksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik? Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini. Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal soleh di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?

2. Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi dia pernah mencaci si fulan, menuduh si fulan, menumpah darah si fulan dan memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang-orang yang teraniaya itu dari pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa-dosa orang-orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika yang paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar. Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dan menjadi ikutan orang-orang soleh yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubatilah kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

Sumber :- Drjuanda.com

Related Posts with ThumbnailsShare on Facebook
Posted on February 13th 2012 in My Artikel, My Sunnah, My Tazkirah