China latih nelayan jadi militia

China latih nelayan jadi militia
China latih nelayan jadi militia

China latih nelayan jadi militia

REUTERS – BOT-BOT nelayan China berlabuh di pelabuhan Baimajing, Pulau Hainan, China pada 7 April lalu.
BAIMAJING, China – Golongan nelayan yang tinggal di bandar pelabuhan kecil Baimajing, Pulau Hainan diberikan latihan ketenteraan dan pelbagai subsidi termasuk bahan api serta ais untuk berperanan sebagai militia nelayan di zon tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Beberapa pegawai pemerintah dan diplomat asing berkata, nelayan-nelayan itu diminta untuk mengumpulkan maklumat mengenai kapal-kapal asing.
“Militia nelayan ini diperluaskan memandangkan Beijing memerlukan khidmat mereka,” kata seorang pegawai di Hainan.
Bagaimanapun, kehadiran militia nelayan itu berisiko menimbulkan konfrontasi dengan tentera laut asing di Laut China Selatan yang dilalui kapal-kapal membawa dagangan bernilai AS$5 trilion (RM19.61 trilion) pada setiap tahun.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melakukan rondaan di laut dan udara berhampiran pulau-pulau yang ditambak China di zon tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly, termasuk penerbangan dua pesawat pengebom strategiknya, B-52 pada November lalu.
Malah, Washington berkata pada Februari lalu bahawa rondaan di kawasan tuntutan bertindih itu akan ditingkatkan seiring dengan dasar ‘kebebasan belayar’ AS.
Menurut pegawai pentadbiran Hainan tersebut, Beijing menyediakan latihan ketenteraan asas kepada golongan nelayan itu, namun operasinya dikawal oleh Parti Komunis dan Tentera China.
Pemerintah China turut menyediakan peralatan Pengesanan Kedudukan Global pada sekurang-kurangnya 50,000 bot nelayan supaya mereka dapat menghubungi unit Pengawal Pantai China jika berlaku kecemasan, atau konfrontasi dengan kapal asing.
Malah, sebahagian bot nelayan itu turut mempunyai senjata ringan.
Koordinasi antara militia nelayan dan tentera China itu terbukti dalam kejadian pada Mac lalu apabila Indonesia cuba menahan sebuah bot nelayan China dekat Kepulauan Natuna miliknya di Laut China Selatan.
Sebuah kapal Pengawal Pantai China segera menghalang tentera laut Indonesia daripada menunda bot itu sekali gus mencetuskan perbalahan diplomatik antara Beijing dan Jakarta.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, manakala sebahagian pulau dan terumbu karan di laut itu turut dituntut oleh Filipina, Vietnam, Brunei, Taiwan dan Malaysia. – Reuters

 

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz47X1VVV62

Hakcipta terpelihara

Share on Facebook

Leave a Comment