Isu Pengetua : Ibu bapa, guru berhimpun desak pengetua diambil tindakan segera

 

 

Ibu bapa, guru berhimpun desak pengetua diambil tindakan segera

SEBAHAGIAN daripada ibu bapa dan waris pelajar mengadakan perbincangan

SUNGAI PETANI 12 April – Tidak tahan dengan sikap pengetua yang didakwa bersifat perkauman, baran serta mencadangkan penukaran guru sesuka hatinya, lebih 40 ibu bapa, guru serta pelajar salah sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini berhimpun bagi mendesak beliau diambil tindakan secara serta merta.

Himpunan yang mulanya di­rancang di hadapan sekolah tersebut, bagaimanapun berlangsung secara baik menerusi pertemuan bersama wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda setelah dipujuk oleh seorang pegawai PPD. 

Dalam pertemuan tersebut, kesemua yang hadir jelas menampakkan rasa tidak puas hati kerana bimbang dengan nasib para pelajar di situ yang didakwa menjalani pembelajaran dalam keadaan tidak selesa.

Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Daerah Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim yang menjadi wakil kepada kumpulan itu, beliau sebelum ini didatangi oleh lebih 40 guru di sekolah berkenaan yang mahu tindakan serta merta diambil ke terhadap guru berkenaan.

“Mereka turut membawa ba­nyak surat dan meminta saya memanjangkannya kepada pihak atasan agar tindakan segera diambil terhadap pengetua berkenaan. 

“Namun masing-masing enggan mendedahkan identiti de­ngan menulis nama di dalam surat tersebut kerana bimbang karier masing-masing akan terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Antara kandungan dalam surat tersebut adalah pengetua berkenaan didakwa menghalang pelajar daripada menunaikan solat Zuhur di surau sekolah selepas sesi persekolahan selain tidak menyokong acara sambutan Maulidur Rasul di sekolah tersebut.

Selain itu, pengetua itu didakwa mengabaikan surat penyertaan untuk para pelajar menyertai program kokurikulum keislaman di luar sekolah walaupun jemputan itu diterima daripada PPD.

Sementara itu, kesemua yang hadir menyatakan rasa tidak puas hati dalam pertemuan tersebut turut membangkitkan dakwaan mengenai guru-guru yang sering ditengking sehingga menjatuhkan maruah mereka sebagai seorang pendidik selain pemakaian pengetua tersebut yang mencolok mata.

Kumpulan berkenaan juga men­dedahkan, dua guru Matematik yang banyak berjasa kepada sekolah tersebut dan disayangi pelajar bakal dipindahkan kerana dikatakan tidak sehaluan dengan pengetua berkenaan. 

Dalam pada itu Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri, Sofaruddin Ismail yang mendengar keluhan ibu bapa tersebut berjanji akan memberi perhatian terhadap isu itu yang dibangkitkan mengenai pengetua sekolah yang didakwa bermasalah itu.

“Sikap pengetua berkenaan memang berada dalam pengetahuan kami sejak beberapa tahun lalu iaitu sejak dari beliau ber­khidmat di sekolah lama lagi. Namun beliau hanya ditukarkan ke sekolah lain kerana ada kalanya, seseorang guru itu tidak serasi dengan sekolah tersebut.

“Apa pun kami akan membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin termasuk berusaha untuk mengekalkan dua guru yang didakwa diberi arahan berpindah itu,” katanya lagi.

– See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/ibu-bapa-guru-berhimpun-desak-pengetua-diambil-tindakan-segera-1.80415#sthash.YveL96uU.dpuf

Share on Facebook

Leave a Comment