JPJ November 2014 : JPJ fokus tiga jenis kesalahan

JPJ fokus tiga jenis kesalahan

IMG_1948-0.PNG

AZIZAN INCHE HARUN
October 27, 2014

JPJ fokus tiga jenis kesalahan
Johari menunjukkan risalah yang akan diedarkan oleh anggota JPJ semasa membuat operasi nanti.
JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor akan mengadakan Operasi Khas terhadap kesalahan berkaitan nombor pendaftaran kenderaan, penggunaan strobe light dan lampu HID bermula 1 November depan.

Pengarahnya, Johari Yusof berkata, Operasi Khas itu akan diadakan secara bersepadu melibatkan agensi penguatkuasaan lain seperti polis dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurutnya, JPJ sebelum ini telah mengambil pendekatan berhemah dengan melakukan operasi tanpa mengeluarkan saman, sebaliknya mengeluarkan notis amaran dan nasihat kepada orang ramai.

“Beberapa siri operasi yang kita jalankan sebelum ini menemui banyak kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya yang tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, tetapi kita tidak saman.

“Bagaimanapun bermula 1 November depan, tiada lagi surat amaran dikeluarkan, tetapi saman akan diberikan kepada semua pengguna yang melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Johari berkata, kesalahan nombor pendaftaran membabitkan motosikal kurang 250cc akan dikenakan kompaun RM200 dan akan dikurangkan kepada RM120 sekiranya bayaran dibuat selepas dua minggu disaman serta RM70 untuk bayaran dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, bagi kesalahan nombor pendaftaran membabitkan kereta dan motosikal lebih 250cc, penggunaan strobe light dan lampu HID akan dikenakan denda RM250 setiap kesalahan.

“Sekiranya pesalah membuat bayaran dalam tempoh dua minggu selepas menerima saman, kompaun akan dikurangkan kepada RM100, manakala bayaran selepas dua minggu hingga sebulan pula kompaun dikurangkan kepada RM150.

“Sekiranya pesalah ingkar membayar saman, kes akan dibawa ke mahkamah dan denda akan dikenakan dalam kadar yang berlipat kali ganda sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Katanya, kadar ketelusan cahaya (VLT) baharu bagi penggunaan cermin gelap telah diputuskan kerajaan yang mana cermin hadapan dan cermin sisi pemandu serta penumpang kekal 70 peratus dan 50 peratus.

Menurutnya, bagi cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang yang sebelum ini 50 peratus telah ditetapkan kadar VLT baharu yang lebih gelap kepada 30 peratus.

“Tempoh advokasi telah diberikan kepada orang ramai bagi mengambil tindakan pembetulan khususnya kepada pemilik kenderaan import mendapatkan gantian cermin mengikut kadar baharu VLT sehingga 30 April tahun depan.

“Selepas tempoh tersebut bermula 1 Mei 2015, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi VLT yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

“Kita minta orang ramai tahu mengenai perkara ini supaya mengelakkan daripada melakukan kesalahan-kesalahan ini,” katanya.

IMG_1946.JPG

Share on Facebook

Leave a Comment