+6012 2959037
miloki@gmail.com

KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS(14 Januari 2011 H / 9 Safar 1432 H): AMANAH MENJAGA ALAM SEKITAR

KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS(14 Januari 2011 H / 9 Safar 1432 H): AMANAH MENJAGA ALAM SEKITAR

الحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله أُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa seseorang itu. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk ”Amanah Menjaga Alam Sekitar”

Sidang Jumaat Sekalian,

Manusia dan alam mempunyai kaitan dan hubungan yang sangat rapat. Kehidupan manusia di muka bumi ini memerlukan sumber alam untuk meneruskan kelangsungan hidup. Contohnya keperluan manusia untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya, adalah bersumberkan tumbuh-tumbuhan, binatang ternakan, pokok-pokok kayu, hutan rimba belantara, hasil perut bumi, minyak, gas, segala bentuk logam dan sebagainya. Kesemuanya memberi manfaat kepada kehidupan dan keperluan manusia dari dahulu hingga sekarang.

Manusia yang dari dahulu hingga hari ini telah melalui perubahan zaman, peradaban dan ketamadunan. Namun pada zaman ini mereka telah mencapai era pemodenan sains dan teknologi,ini telah membuktikan kecerdikan akal manusia melalui penerokaan ilmu serta penghasilan ciptaan atau rekaan-rekaan tertentu. Kesemua sumber alam ini telah memberi manfaat dan asas kepada kita dalam mengejar kemajuan, pembangunan dan kekayaan yang sedang kita nikmati pada hari ini .

Kesedaran orang ramai terhadap penjagaan diri dan pemuliharaan alam sekitar masih di tahap rendah, terutama sikap tidak mengambil berat dalam menjaga kebersihan. Apabila berlaku musibah seperti penularan wabak penyakit taun, denggi atau sebagainya di satu-satu kawasan, maka barulah kita sedar bahawa puncanya adalah sikap kita sendiri. Allah SWT menjelaskan didalam surah Al-Rum ayat 41 :

Maksudnya : “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

KAUM MUSLIMIM YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sesungguhnya penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar ini memerlukan tindakan dan usaha yang bersepadu kerana kita semua lah yang bertanggungjawab memakmurkan dan memelihara anugerah Allah ini. Sekiranya baik dan betul cara kita melakukan sesuatu tindakan, maka eloklah hasilnya yang kita perolehi. Jika berlaku sebaliknya, maka amat malang sekali bagi diri kita dan juga anak-anak cucu generasi kita yang akan datang.

Kita hendaklah membetulkan sikap dengan menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 56 :

Maksudnya : “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan juga dengan perasaan harap (supaya makbul), sesungguhnya rahmat Allah itu dekat pada orang-orang yang sentiasa memperbaiki amalannya” .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sabda nabi SAW dalam hadis riwayat Imam Muslim :

اَلطُّهُوْرُ شَطْرُ الإِيْمَانِ‏

Yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Dalam hadis tersebut Islam menyeru umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan, sama ada kebersihan diri, tempat tinggal dan alam sekitar. Memelihara kebersihan alam sekitar dapat membantu kita untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan harmoni. Kita juga dapat menghirup udara yang segar apabila alam sekitar itu bersih.

Kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya tugas pekerja yang membersihkan sampah atau pemungut sampah. Tetapi ia adalah tanggungjawab semua umat Islam, tidak kira tua atau muda mestilah peka dengan kebersihan alam sekitar. Oleh itu, jangan ada yang sikap tidak peduli kerana kita mesti melakukannya dengan sukarela dan tanamkanlah sifat menjaga kebersihan ke dalam diri setiap individu masing-masing. Tanggungjawab menjaga kebersihan adalah amanah daripada Allah SWT kepada hambaNya.

Allah SWT telah menjadikan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Sebagai khalifah Allah, kita wajib patuh dan taat kepada perintah-Nya. Maka, seharusnya kita hendaklah memakmurkan dan memelihara bumi kurniaan Allah ini, bukannya dengan melakukan kerosakan, melakukan pencemaran dan sebagainya. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan sepertimana firman-nya dalam surah al-Baqarah ayat 205:

Maksudnya :”Dan apabila ia berpaling ( dari kamu ), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak dan Allah tidak menyukai kebinasaan”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Alam sekitar akan terus tercemar dan menuju kemusnahan jika manusia tidak mengambil langkah menjaganya dengan baik dan terancang. Masyarakat kita tidak boleh hanya bertanya, apakah tindakan kerajaan menjaga alam sekitar? Sudah tiba masanya, kita bertanya diri sendiri, apakah sumbangan kita menjaga alam sekitar?

Secara individu, setiap ahli masyarakat boleh menyumbang kepada kebersihan dan penjagaan alam sekitar dengan lebih teratur dan tersusun. Ramai masyarakat kita memandang ringan isu pembuangan sampah dan sisa. Ini menyebabkan ia menjadi punca utama dalam pencemaran dan kerosakan alam sekitar.

Jika berlaku kemusnahan alam sekitar, ia akan memberi kesan yang amat besar terhadap kehidupan manusia. Ini jelas menunjukkan kepentingan manusia terhadap alam sekitar. Walau demikian manusia telah melakukan aktiviti-aktiviti yang telah mengancam keharmonian alam sekitar.

Ada pelbagai cara dan ikhtiar untuk mengekalkan alam sekitar yang bersih, antaranya dengan mengadakan kempen kebersihan secara beramai-ramai dan bergotong-royong. Seperti yang kita tahu, pihak kerajaan juga banyak turut terlibat dalam kebersihan alam sekitar seperti mengadakan kempen dan iklan. Begitu juga dengan mengenakan denda ke atas pesalah yang membuang sampah sesuka hati di merata tempat.

Apabila mereka membuang sampah ke dalam sungai, ia boleh menyebabkan berlakunya pencemaran serta menjejaskan kualiti air yang menjadi sumber air mentah untuk kegunaan orang ramai. Ia juga menyebabkan berlakunya banjir, pencemaran sungai, tanah runtuh, pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya. Akibatnya, akan berlakulah penyebaran penyakit berjangkit, taun, keracunan, denggi dan pelbagai jenis penyakit lagi.

Justeru, dalam mengejar kemajuan dan pembangunan, janganlah kita cenderung untuk membangunkan aspek fizikal secara tamak haloba dan rakus, tanpa mengambil kira faktor-faktor keselamatan, pencemaran atau taksiran kerosakan terhadap alam sekitar. Ingatlah, kita sebagai khalifah Allah adalah bertanggungjawab menjaga dan memelihara alam ini, supaya kesejahteraan kehidupan kita dan alam sekitar ini dapat dipertahankan serta diwarisi untuk generasi akan datang.

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Antara kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

1. Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
2. Islam menuntut kita bertanggungjawab dalam menjaga dan memulihara alam sekitar kerana ia merupakan anugerah Allah yang amat bernilai.
3. Kejadian bencana dan musibah yang berlaku hari ini adalah akibat segelintir perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab merosakkan khazanah alam ini.
4. Sebagai umat Islam kita tidak sepatutnya melakukan kerosakan dan mencemarkan alam sekitar ini, kerana kebersihan itu adalah separuh daripada iman.

Kesimpulannya, bagi menjamin kehidupan yang selesa dan bahagia, kita mestilah menghargai dan memelihara setiap kurniaan Allah SWT. Janganlah kita menjadi perosak kepada alam ini. Udara yang bersih, air yang jernih, tumbuhan yang menghijau adalah merupakan bukti kebesaran dan ciptaan Allah yang menjadi pelengkap kepada kehidupan manusia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Share on Facebook

Leave A Comment