Retinopati ragut Penglihatan

Retinopati ragut Penglihatan

IMG_3271.JPG

SEAWAL usia tujuh tahun, Siti Sarah Bidin telah disahkan menghidap diabetes disebabkan oleh faktor genetik yang diwarisi keluarganya.

Situasi itu menyebabkan doktor menasihatinya supaya mengawal pengambilan makanan bergula dan berkanji agar penyakit kencing manis yang dihidapi itu dapat dikawal.

Apabila meningkat dewasa dan mendirikan rumah tangga, Siti Sarah terus mengekalkan disiplin penjagaan diet tanpa sebarang masalah bagi memastikan diabetes yang dihidapi tidak bertukar menjadi lebih serius.

Ketika berumur 25 tahun, Siti Sarah disahkan mengandung dan doktor sekali lagi menasihatinya supaya menjaga paras gula serta kolesterol dalam tubuh agar penyakit yang dialami itu tidak menjejaskan kandungan.

Bagaimanapun, Siti Sarah mula menghadapi masalah penglihatan sehingga hampir buta selepas ibu muda itu melahirkan anak pertama pada tahun lalu akibat penyakit diabetes yang dihidapinya.

“Selepas melahirkan anak pada Februari 2013, penglihatan saya mula terganggu apabila terdapat tompokan gelap pada setiap benda (objek) yang saya lihat.

“Doktor melakukan ujian imbasan pada mata dan mendapati ada tompokan darah di bahagian retina. Ia dikenal pasti berpunca daripada diabetes,” kata anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu.

Siti Sarah berkata, dia terpaksa menjalani rawatan laser di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya bagi membuang tompokan darah di bahagian retina.

Katanya, dia bersyukur kerana kualiti penglihatan kembali meningkat selepas menjalani rawatan selama kira-kira 10 minit.

“Walaupun saya menjaga pengambilan makanan sejak berumur tujuh tahun, ia membuktikan bahawa pesakit kencing manis masih menghadapi risiko mengalami kerosakan serius pada bahagian mata.

“Kalau terlambat mendapatkan rawatan sebaik tompokan darah (dalam retina) dikesan, saya mungkin kehilangan mata (penglihatan) untuk selama-lamanya,” katanya.

Siti Sarah merupakan salah seorang pesakit diabetes yang terdedah kepada risiko buta akibat retinopati diabetes. (DR) ia terjadi akibat pembentukan tompokan darah di retina yang terletak di bahagian belakang bebola mata.

Kadar kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan kerosakan retina iaitu lapisan di bahagian belakang bebola mata yang bertindak memproses setiap imej yang dilihat sebelum menghantar isyarat ke otak melalui saraf.

]DR] merupakan penyebab utama masalah kehilangan penglihatan dalam kalangan pesakit diabetes yang berumur lebih daripada 25 tahun di seluruh dunia.

Gangguan

MATA pesakit tidak perlu dititis cecair pembesar anak mata untuk menjalani pemeriksaan menggunakan mesin Daytona Optos.

DR dikatakan terjadi apabila kandungan gula dalam darah berada pada paras yang sangat tinggi tanpa dikawal oleh pesakit diabetes untuk satu tempoh yang terlalu lama.

Ia turut dipengaruhi oleh kadar tekanan darah, sejarah kesihatan keluarga yang mengalami masalah penglihatan akibat kencing manis, masalah buah pinggang, paras kolesterol, tabiat pemakanan dan kondisi pesakit diabetes ketika mengandung.

Gangguan penglihatan tersebut boleh dikesan menerusi beberapa tanda seperti kewujudan tompok darah bersaiz kecil di retina yang boleh dilihat melalui mesin pengimbas.

Tompok darah tersebut akan bertambah dan menjadi lebih besar sehingga menjejaskan kesihatan saraf serta pembuluh darah di sekitar retina terutama apabila pesakit gagal mendapatkan rawatan segera.

Pakar bedah retina dan optalmologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Kenneth Fong Choong Sian berkata, setiap seorang daripada 10 pesakit diabetes di negara ini dikesan mengalami masalah penglihatan.

“Mengikut statistik pada tahun 2006, sebanyak 15 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dikesan menghidap diabetes dan angka itu meningkat sebanyak 50 peratus setiap tahun.

“Daripada jumlah itu pula, setiap satu daripada tiga pesakit (diabetes) yang mengalami masalah penglihatan menghadapi risiko menjadi buta akibat DR.

“Statistik terkini merekodkan seramai tiga juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, sejuta pesakit mengalami DR dan kira-kira 300,000 orang berisiko buta,” katanya.

Kenneth berkata, DR terbahagi kepada empat peringkat iaitu tahap awal, sederhana, proliferatif dan tahap akhir yang hampir buta sepenuhnya.

Bagi tahap awal dan sederhana, pesakit biasanya diberi ubat dan suntikan pada bebola mata untuk menanggalkan tompok darah bersaiz kecil serta memulihkan perjalanan darah di saraf retina.

Bagi peringkat proliferatif dan tahap akhir pula, pesakit perlu menjalani rawatan laser untuk menanggalkan tompok darah bersaiz besar serta memulihkan saraf.

Jika keadaan retina terlalu serius akibat tompokan darah serta kerosakan saraf yang lebih besar, pesakit perlu menjalani prosedur pembedahan.

Kenneth menambah, pesakit diabetes yang mempunyai paras gula tinggi wajar melakukan pemeriksaan mata secara lebih kerap iaitu sekurang-kurangnya satu atau dua kali pada setiap tahun.

“Dalam banyak kes, pesakit diabetes tidak melakukan pemeriksaan kerana mata mereka akan dititis cecair sebelum diimbas.

“Titisan ubat cecair itu menyebabkan pesakit tidak dapat melihat serta memandu untuk tempoh sehingga dua jam atau lebih.

“Disebabkan masalah itu (penglihatan terganggu), mereka tidak melakukan pemeriksaan retina. Dalam kebanyakan kes, pesakit mula berjumpa pakar apabila (penglihatan) sudah teruk dan hampir buta,” kata beliau.

Tambah Kenneth, pesakit diabetes kini boleh melakukan pemeriksaan retina tanpa melalui prosedur menitiskan cecair ubat ke dalam mata.

Organ penglihatan pesakit perlu dititis cecair untuk membesarkan anak mata jika melakukan pemeriksaan menggunakan teknologi mesin pengimbas Fundus yang sering diguna sebelum ini.

“Mesin itu pula hanya mampu merakam imej sebanyak 45 darjah daripada keseluruhan kawasan retina (360 darjah). Terdapat kawasan (retina) yang tidak dapat diimbas.

“Di Pusat Perubatan Sunway, pemeriksaan mata dilakukan dengan mesin Daytona Optos menggunakan teknologi terkini. Kawasan retina boleh dilihat sehingga 200 darjah.

“Mata pesakit juga tidak perlu dititis ubat atau cecair kerana mesin pengimbas teknologi baharu (dari Australia) itu boleh melakukan imbasan serta-merta,” katanya.

Teknologi

KANAK-KANAK turut berisiko menghidap diabetes disebabkan faktor genetik yang diwarisi keluarga. – Gambar hiasan

Kenneth menambah, kaedah rawatan akan ditentukan selepas doktor mengesan dan mengenal pasti tahap keseriusan kawasan retina yang mempunyai tompok darah.

“Kami menggunakan teknologi terkini rawatan laser Quantel Supra Yellow untuk membuang tompok darah serta membaiki saraf retina dalam masa kira-kira 10 minit.

“Rawatan itu tidak menyakitkan kerana mempunyai pancaran laser 10 kali lebih pantas berbanding teknologi sebelum ini. Kos rawatan pula hanya kira-kira RM1,000 bagi satu sesi,” katanya.

Dalam pada itu, pakar perubatan retina, Dr. Tara Mary George pula berkata, masalah retina bukan penyebab buta yang utama di negara ini namun ia perlu diberi perhatian kerana sukar dirawat jika keadaan menjadi terlalu serius.

“Katarak dikenal pasti sebagai penyebab masalah buta yang utama di Malaysia tetapi ia boleh dirawat. Berbeza dengan retina, ia sukar dirawat jika lambat mendapatkan rawatan.

“Selain DR, retina juga terdedah kepada risiko penyakit degenarasi makular yang berkaitan dengan usia (AMD). Penglihatan akan terganggu akibat kewujudan tompokan besar pada setiap objek yang dilihat.

“Ia disebabkan kerosakan tisu pada retina. Jika lambat dikesan, ia amat sukar untuk dirawat dan pesakit terdedah kepada risiko buta,” katanya.

Tara menambah, selain faktor umur, gaya hidup dan tabiat tidak sihat seperti merokok juga menyumbang kepada masalah AMD.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz3DkApsHfb
Hakcipta terpelihara

Share on Facebook

Leave a Comment