Sesi Penyampaian Watikah Mengajar Simposium Tauliah Negeri Perlis 2018


Sesi Penyampaian Watikah Mengajar Simposium Tauliah Negeri Perlis 2018

Guru agama kena jaga etika, tatasusila

KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua tenaga pengajar agama Islam di negeri itu menjaga etika dan tatasusila agar menjadi contoh kepada semua pihak.

Titah baginda, guru agama harus menjaga akhlak dalam pelbagai tindakan, berpakaian sopan, menepati masa, tidak menggunakan bahasa kesat atau lucah dalam pengajaran, mematuhi serta menghormati undang-undang tubuh Perlis serta Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Mereka juga tidak boleh menyebut riwayat-riwayat palsu dan seumpamanya, melainkan dengan tujuan menyatakan kepalsuannya.

“Semua guru agama juga perlu mematuhi dan menghormati keputusan fatwa rasmi negeri ini, memberikan maklumat berkaitan agama dengan tepat, bertanggungjawab dan tidak berkempen politik,” titah baginda semasa berkenan merasmikan Simposium Penerima Tauliah dan Penganugerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama Islam di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 62 tenaga pengajar agama Islam menerima tauliah masing-masing.

Dalam pada itu, baginda juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan Mufti Perlis dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Perlis kerana membangunkan portal e-tauliah bagi memudahkan urusan serta semakan maklumat berkaitan tauliah mengajar agama Islam di Perlis.

Baginda bertitah ia sejajar dengan perkembangan era teknologi maklumat masa kini dan ia harus dimanfaatkan dalam urusan pentadbiran. – Bernama

Share on Facebook

Leave a Comment