Valentine Day : BUDAYAKAN KASIH SAYANG MENGIKUT CARA ISLAM

Pada hari ini kita melihat sebahagian umat Islam sendiri turut menyambut Hari Valentine yang kononnya disambut untuk memperbaharui rasa cinta. Untuk menceritakan sejarah awal Hari Valentine, saya kira ramai telah maklum perkara tersebut. Apa yang boleh disimpulkan, Hari Valentine bukanlah datang dari acuan Islam.

Di dalam sambutan ini ada unsur-unsur kepercayaan. Ini kerana berdasarkan sejarahnya, ia berasal dari ajaran Kristian dan sambutannya juga dipelopori oleh orang-orang Kristian. Perayaan ini telah menjadi kepercayaan, adat dan budaya mereka.

Dari satu perspektif, Islam melarang kita menyerupai agama lain dan Islam melarang kita menyerupai budaya-budaya lain lebih-lebih lagi yang wujud di sana kepercayaan. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk di kalangan mereka.” (Sahih, Abu Daud)

Kita ambil contoh mudah seperti pakaian. Di dalam Islam, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam juga memakai seluar tetapi di luarnya Baginda memakai baju labuh seperti jubah. Pada hari ini masyarakat Islam juga memakai seluar. Adakah dengan memakai seluar, kita menyerupai budaya orang kafir atau Barat? Tidak, ini kerana tidak ada unsur kepercayaan atau keagamaan pada pakaian tersebut.

Namun jika di situ wujud unsur-unsur kepercayaan, atau pakaian itu sinonim dan menunjukkan identiti orang kafir, ia hendaklah ditinggalkan.

Adapun isu Valentine, wujud di sana unsur kepercayaan dan agama kerana ia membabitkan perayaan. Harus difahami bahawa perayaan dan sambutan di sisi Islam adalah termasuk dalam urusan ibadat.

Hari Valentine dilakukan atas dasar cinta yang terlampau. Islam tidak melarang manusia untuk berkasih sayang sesama suami isteri, keluarga, ibu bapa dan sesama manusia selama mana hubungan itu adalah halal. Sedangkan Hari Valentine adalah sambutan hari kekasih dalam erti kata yang luas tanpa ada batas-batasnya; sama ada suami isteri atau yang belum berkahwin. Bahkan kebiasaan yang menyambut Hari Valentine adalah pasangan-pasangan yang belum berkahwin.

Apabila wujud di sana hubungkait Hari Valentine dengan amalan seseorang Muslim, ia secara langsung atau tidak langsung telah menyerupai amalan yang dibudayakan oleh orang kafir dan ianya dilarang di dalam Islam. Maka hukum menyambutnya adalah haram.

PERANAN KERAJAAN DAN AGAMAWAN

Pada hari ini, dukacitanya media-media massa banyak mempromosikan sambutan dan perayaan hari Valentine. Maka apakah langkah kerajaan dan agamawan untuk mengekang sambutan Hari Valentine terhadap remaja Islam secara khasnya dan masyarakat Islam secara umumnya, memandangkan menyambutnya adalah berdosa dan termasuk dalam menyerupai budaya dan amalan orang kafir?

Ilmuwan yang mengetahui ilmu agama dan hukum hakam Syariat bertanggungjawab untuk terus menerus memberikan maklumat dan menjelaskan hukum hakamnya kepada masyarakat awam yang barangkali masih terikut-ikut meraikan Hari Valentine ini akibat kejahilan, sikap sambil lewa dan memandang remeh hal-hal yang seperti ini.

Setelah itu sama ada masyarakat hendak menerimanya ataupun tidak, mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Adapun kepada pihak kerajaan, kita mencadangkan kepada mereka supaya iklan dan sambutan secara terang-terangan tidak dibenarkan atau tidak diberikan sokongan. Ini kerana apabila perkara yang bercanggah dengan Islam diagungkan atau diangkat, dibantu, atau disokong, itu bererti kita membuka ruang dan jalan untuk orang melakukan kemaksiatan.

Sedangkan para Ulama khususnya ulama-ulama di Timur Tengah telah bersepakat tentang hukum sambutan Hari Valentine, iaitu haram.

NIAT BAIK TIDAK MENGHALALKAN YANG HARAM

Ada segelintir masyarakat Islam yang melihat Hari Valentine boleh diraikan sekiranya niat dan tujuannya baik. Kita kena ingat bahawa niat yang baik tidak semestinya membawa kepada amalan yang diredhai dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sebagai contoh, ibadah solat. Niat seseorang itu barangkali baik iaitu mendirikan solat kerana Allah SWT. Tetapi kemudian dia tidak mengerjakan solat itu seperti yang dituntut di dalam Syarak, dia tidak solat seperti mana Nabi SAW solat.

Dia solat tanpa berwuduk, tidak mengadap kiblat, tidak bertakbir dan meninggalkan rukun-rukun solat yang lain. Atau mungkin dia sengaja menambah bilangan rakaat dengan alasan niatnya baik dan ikhlas melakukannya kerana Allah SWT. Dia bersangka baik bahawa ALLAH akan menerima amalannya itu.

Jelas kita semua setuju bahawa solat itu tidak akan diterima oleh ALLAH, bahkan ia bukan suatu yang diredhai oleh ALLAH, tidak berpahala bahkan berdosa kerana cara pelaksanaannya menyelisihi sunnah Nabi SAW.

Begitu juga kisahnya Robin Hood yang berniat baik ingin membantu orang miskin, lalu dia mencuri untuk mengagihkan hasil curiannya kepada golongan miskin. Jika kita menilainya dengan akal kita yang cetek, mungkin kita merasa ia tidak salah. Namun jika dilihat tindakan itu dari kacamata syariat Islam, ia adalah perbuatan yang buruk dan tidak dibolehkan sama sekali walaupun pelakunya mendakwa niatnya baik.

Jadi niat yang baik tidak boleh menjadi hujah untuk menjustifikasikan sesuatu amalan itu sebagai baik. Demikian halnya dengan Hari Valentine.

KASIH SAYANG SETIAP HARI

Sebenarnya masyarakat Islam tidak perlu mengikuti budaya kafir untuk mempamerkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan sesama keluarga dan sesama yang dicintai. Mereka harus berbangga dengan ajaran Islam dan kekal mengikuti budaya dan syariat Islam.

Agama Islam lebih awal lagi menitik beratkan dan memerintahkan umatnya agar memupuk kasih sayang setiap hari, menyebar salam apabila bertemu walaupun terhadap orang yang tidak dikenali, mengungkapkan rasa sayang pada bila-bila masa terhadap orang yang kita kasihi. Bahkan Islam menjadikan rumah sebagai tempat asas untuk berkasih sayang.

Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah hanya menyayangi hamba-hambaNya yang penyayang.” (Hasan, riwayat Al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabiir). Bukan sahaja kepada manusia, Islam juga menyuruh umatkan bersikap rahmat yakni mengasihi dan berbuat baik kepada makhluk-makhluk ALLAH yang lain.

Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang merahmati meskipun seekor sembelihan maka Allah akan merahmatinya pada hari kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari di Al-Adab Al-Mufrod dan dihasankan oleh Syaikh Albani)

Maka alternatif perlu disediakan dan dikempenkan kepada masyarakat. Masyarakat perlu dijelaskan bagaimana cara berkasih sayang menurut ajaran Islam. Islam tidak melarang berkasih sayang cuma Islam meletakkan garis panduan dan batas pergaulan yang perlu dipatuhi tidak lain tidak bukan demi menjaga kemaslahatan manusia itu sendiri.

Saya pernah berbual dengan seorang rakan. Dia menceritakan bahawa rakannya banyak membuat maksiat, antaranya minum arak. Tetapi pada suatu hari setelah rakannya itu selesai minum arak dan keluar dari Pub, ada seekor anjing datang dekat kepadanya. Rakannya itu terkejut dan mengatakan anjing itu haram dan dia perlu menyamaknya.

Sedangkan dia baru sahaja minum arak. Arak hukumnya haram. Dia minum arak, tetapi mengapa dia takut sangat dengan anjing? Ini kerana ianya telah dibudayakan. Sentimen dan budaya masyarakat kita telah menekankan dan mendoktrinkan bahawa anjing adalah haram, anjing tidak boleh disentuh, anjing adalah najis. Apabila ia dibudayakan, secara automatik orang tidak suka kepada anjing, merasa sensitif dan secara automatik akan menjauhinya.

Oleh itu, hal yang sama perlu dilakukan dalam masalah ini. Penjelasan perlu diberikan kepada anak-anak muda agar mereka membudayakan kasih sayang menurut cara Islam dan membenci budaya Barat yang bercanggah dengan nilai Islam. Dengan cara itu, mereka dengan sendiri akan merasa ganjil dan tidak selesa dengan budaya kasih sayang yang dipupuk melalui Hari Valentine

Sumber :- https://ustazfathulbari.wordpress.com

Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Valentine Day 2018

Valentine Day 2018
Valentine Day 2018
Share on Facebook

Leave a Comment